Sabtu, 16 Mei 2020 | 8:34am
Guru Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah, Jasin, Melaka, Salman Samat, 35, mendengar hafazan murid yang belajar dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Guru Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah, Jasin, Melaka, Salman Samat, 35, mendengar hafazan murid yang belajar dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

COVID-19: Pendidikan menerusi dunia maya cabaran baharu buat guru

KUALA LUMPUR: Banyak perkara berubah akibat COVID-19.

Jika dahulu peranti telekomunikasi seperti telefon pintar dan gajet platform aplikasi dalam talian dilarang dibawa ke sekolah, namun kini sebaliknya apabila dunia pendidikan berada dalam alam maya dan dilakukan di rumah.

Krisis global akibat penularan wabak COVID-19 bukan sahaja menyebabkan pembelajaran dan pengajaran secara konvensional tertangguh, bahkan menjadikan tugasan guru semakin mencabar apabila mereka perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) dilaksanakan secara dalam talian.

Dalam alaf baharu yang mengutamakan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat, tiada pilihan selain memanfaatkan teknologi dan aplikasi pendidikan dalam talian. Konteks pendidikan masa kini memerlukan guru menguasai dan mempunyai literasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Bertema 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu', sambutan Hari Guru tahun ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), guru-guru tidak duduk diam dan terus mencurah ilmu menerusi PnP dalam talian.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berpendapat warga pendidik, khususnya guru, kini perlu melengkapkan diri dengan penguasaan dalam teknologi digital dan menguasai ilmu berkaitan 'e-learning', untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.

"Semua guru perlu meningkatkan ilmu, kompetensi, keupayaan, kemahiran, perubahan sikap dan kesiapsiagaan dalam menerima normal baharu dalam pendidikan terutama pembelajaran dalam talian. Kesiapsiagaan ini akan dapat dilihat perubahan dari aspek pengajaran, pentaksiran dan penyampaian ilmu yang mencabar tugas keguruan.

"Guru perlu mempunyai anjakan paradigma untuk menerima senario baharu pendidikan global dan menyiapkan generasi yang celik teknologi maklumat. Ini penting dalam menyiapkan mereka (pelajar) bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan bersedia menjadi generasi digital," katanya.

Mengakui wujud kekangan dalam pendidikan dalam talian seperti masalah capaian Internet, ketiadaan peranti digital pintar serta sikap murid dan pelajar sendiri, Mohd Azizee menegaskan guru sebaliknya perlu memikirkan cara untuk memastikan penyampaian ilmu itu tetap diteruskan.

Beliau berkata, pelajar yang menghadapi masalah belajar secara dalam talian perlu diberi peluang berjumpa dengan guru di sekolah bagi mendapatkan ilmu secara bersemuka yang disifatkan lebih mudah dan jelas supaya mereka tidak tercicir dalam proses pembelajaran.

"Kerana tidak semua pelajar boleh menerima cara pembelajaran dalam talian, masih ada lagi pelajar yang perlu bimbingan secara konvensional untuk mereka lebih mudah memahami. Yang penting kita hendak memastikan pelajar itu tidak hilang semangat untuk menimba ilmu, begitu juga guru tidak hilang semangat untuk menyampaikan ilmu," katanya.

Seorang guru, Zuraini Eusope, 51, memberitahu suasana pengajaran dan pembelajaran jelas berbeza dalam tempoh PKP berbanding sebelumnya memandangkan hampir semua kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dijalankan secara dalam talian seperti Google Classroom, Google Meet, Youtube, Zoom Cloud Meeting, dan pelbagai kuiz.

Bertugas di Sekolah Kebangsaan Marian Convent Ipoh, Perak, beliau mengakui tidak semua guru celik teknologi maklumat yang dapat membiasakan diri dengan norma dan normal baharu itu, terutamanya golongan guru yang dikategorikan sebagai 'orang lama'.

"Ramai juga guru veteran yang agak sukar menguasai tetapi kebanyakan kami akan cuba yang terbaik, macam saya juga. Memang ia mengambil masa tetapi alah tegar perkara biasa. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, serta perlu yakin boleh walaupun lambat," katanya yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik.

Telah mencurah bakti hampir 25 tahun, Zuraini berkata, walaupun guru telah menyediakan pelbagai bahan dan persiapan, masih terdapat murid dan pelajar yang tidak menyiapkan kerja rumah dan tidak menghadiri kelas di dunia maya, sehinggakan guru perlu menunggu kehadiran anak murid selama hampir dua jam.

"... terutama kelas-kelas menduduki peperiksaan Tahun 6. Sambutan sudah semakin berkurangan walaupun macam-macam kami (guru) bagi seperti video, kartun, lagu dalam bentuk PdPc mengikut tajuk. Namun, ada guru yang rajin telefon ibu bapa tanya dengan berhemah supaya semua murid dapat buat dan ikuti pengajaran," jelasnya.

Lain pula bagi sekolah di kawasan pedalaman, yang menurut Zubair Shuhaime, 29, seorang guru di SK Kuala Kebulu, Sebauh di Bintulu, Sarawak, kebanyakan pengajaran dan pembelajaran dalam talian adalah terbatas kerana berdepan dengan kekangan capaian Internet serta ketiadaan alat peranti pintar.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP ini, guru-guru di sekolah yang dikategorikan sebagai Pedalaman Tiga itu akan menghantar tugasan melalui aplikasi WhatsApp dalam kumpulan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), manakala bagi yang tiada akses, guru itu sendiri akan menghantar tugasan kepada mereka secara bersemuka.

"Sekolah ini terletak kira-kira lima hingga enam jam dari bandar besar Bintulu bergantung kepada keadaan cuaca. Bagi perjalanan ke rumah mereka (murid-murid), guru perlu melalui jalan balak atau menggunakan perahu. Perjalanan dari sekolah ke rumah mereka yang paling dekat antara 12 hingga 15 minit dan paling jauh boleh mencecah sehingga dua jam.

"Sekiranya murid telah menyiapkan tugasan, mereka perlu menghantar bukti supaya guru dapat menyemak hasil kerja mereka. Seterusnya laporan dan bukti pengajaran dan pembelajaran akan dihantar ke pihak pentadbir," katanya yang telah berkhidmat selama enam tahun di sekolah itu.

Mengakui dunia pendidikan di luar bandar berhadapan cabaran lebih getir, Zubair berkata cabaran lebih besar adalah kepada ibu bapa murid dan pelajar sendiri sama ada mereka benar-benar prihatin dengan kepentingan pendidikan anak mereka atau sebaliknya.

Menceritakan situasi satu keluarga yang tinggal di kawasan terpencil, beliau berkata, dengan kemudahan telefon pintar yang ada namun capaian Internet terhad, keluarga itu sanggup berjalan kaki ke kawasan tinggi yang mempunyai capaian Internet 'kuat' bagi memuat turun tugasan yang diberikan oleh guru.

"Mereka sekeluarga akan duduk di situ untuk 'sedut' segala kerja yang guru beri, dan suruh anak mereka buat dekat situ juga sebab hanya di situ ada line kuat. Mereka juga tidur bermalam di kawasan berdekatan demi menyiapkan kerja sekolah, sebab hendak submit semula kena ada line. Ini contoh ibu bapa yang betul-betul prihatin," katanya.

Hakikatnya hubungan guru dan ibu bapa membentuk perwatakan dan kejayaan seseorang pelajar.

Buat semua guru di Malaysia, meskipun tiada sorak-sorai dan kegirangan anak murid dan pelajar meraikan beramai-ramai Hari Guru di sekolah, penghayatan bagi menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa pastinya sentiasa tersemat di hati setiap orang.

Jasa insan bergelar pendidik ini amat besar dan setiap orang menginsafi hakikat bahawa kehadiran guru dalam kehidupan banyak membentuk keperibadian dan keterampilan seseorang untuk menjadi manusia berguna. Terima kasih Cikgu. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X