Sabtu, 23 Mei 2020 | 4:03pm

Dakwaan saringan kedua wanita hamil negatif COVID-19 tidak benar

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menafikan dakwaan mengatakan wanita hamil yang positif COVID-19, di Kuala Krai, disahkan negatif selepas menjalani saringan kedua.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata ujian kedua hanya diambil selepas 13 hari pesakit berkenaan menerima rawatan bagi memastikan sama ada dia sudah bebas atau sebaliknya daripada jangkitan itu.

"Sehingga kini wanita hamil ini masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan dakwaan mengatakan ujian saringan kali kedua negatif adalah tidak benar.

"Namun bagi memastikan sama ada wanita ini masih positif COVID-19 atau tidak, pihak kami akan mengetahuinya dalam tempoh 13 hari bermula dari 19 Mei lalu ketika ujian swab kali pertama dilakukan ke atasnya.

"Sekiranya selepas tempoh 13 hari didapati wanita ini masih positif COVID-19, pihak kami akan meneruskan rawatan ke atasnya sehingga dia benar-benar bebas daripada jangkitan wabak ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial Facebook yang menyatakan wanita berkenaan disahkan negatif COVID-19 selepas ujian saringan kedua yang dilakukan ke atasnya.

Bagaimanapun, Zaini berkata, besar kemungkinan berita yang tular itu disebabkan individu berkenaan terkeliru dengan beberapa ujian sampingan lain yang menunjukkan bacaan negatif.

"Ujian menggunakan teknik PCR-Antigen adalah ujian utama (Gold Standard) untuk pengesahan COVID-19 sebagaimana ujian pertama dilakukan terhadap pesakit ini.

"Kami di jabatan kesihatan akan sentiasa memberi rawatan terbaik untuk semua dan pada masa yang sama menyeru masyarakat agar memberi sokongan moral bukannya memberi komen yang negatif," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, wanita hamil yang positif COVID-19 di Kelantan dikesan melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita itu hanya disahkan positif COVID-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.

Pada masa sama, KKM juga mengesahkan hasil ujian saringan terhadap 23 kontak terdekat wanita mengandung yang disahkan positif COVID-19 adalah negatif, manakala tujuh lagi kontak terdekat yang lain masih menunggu keputusan ujian saringan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • FOTO hiasan.
    FOTO hiasan.
    Berita Harian X