X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 4:15pm
Sebahagian daripada 150 orang golongan gelandangan yang ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19. - Foto BERNAMA
Sebahagian daripada 150 orang golongan gelandangan yang ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19. - Foto BERNAMA

Gelandangan baharu dikesan di KL

KUALA LUMPUR: Beberapa kumpulan gelandangan yang dikesan masih berada di sekitar ibu negara, dipercayai baru datang ke Kuala Lumpur dari luar wilayah itu.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Azmir Ahmad, berkata kumpulan gelandangan baharu itu dipercayai datang dari kawasan berhampiran Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan makanan.

Jelasnya, DBKL memandang serius isu gelandangan yang berterusan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), sekali gus akan terus menjalankan operasi bagi menyelamatkan kumpulan itu.

"Ini isu berterusan dan DBKL masih menjalankan operasi menyelamat gelandangan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Imigresen.

"Sebelum ini kita sudah selamatkan lebih 800 gelandangan ketika PKP, namun sekarang kita mendapati ada sejumlah gelandangan baharu yang datang dari luar Kuala Lumpur.

"Mereka mungkin datang kerana tahu ada badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memberi makan di sekitar ibu negara dalam tempoh PKPB ini," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Khamis lalu, pendakwah terkenal, Ebit Liew memuat naik status dan gambar di Facebook memaklumkan beliau mengagihkan bantuan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Ia menimbulkan persoalan berikutan Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL sebelum ini sudah menyelamatkan sekitar 864 gelandangan dan ditempatkan secara sementara di 12 penempatan bagi membendung penularan COVID-19 sepanjang PKP dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Khairul Azmir memaklumkan, ada pelbagai jenis gelandangan yang ada di ibu negara dan ada antara mereka yang menyembunyikan diri ketika operasi menyelamat dilakukan sewaktu tempoh PKP.

Katanya, ada juga beberapa individu menjadi gelandangan kerana hilang tempat tinggal dan pekerjaan dalam tempoh PKP, selain ada yang bergaduh atau dibuang keluarga sebelum menjadi gelandangan.

"Sebelum PKP, ada gelandangan yang malu dan tidak tampil ke Anjung Singgah untuk dapatkan makanan, sebaliknya akan minta rakan mereka tolong ambilkan makanan itu untuk mereka.

"Apabila rakan mereka diselamatkan ketika PKP, mereka terpaksa keluar sekarang untuk mendapatkan makanan dan disebabkan itu jumlah gelandangan dilihat bertambah walaupun sudah ramai yang diselamatkan sebelum ini.

"Untuk gelandangan yang dibantu NGO baru-baru ini, kami percaya mereka datang dari luar Kuala Lumpur. Mungkin mereka sukar untuk mendapatkan sumbangan di kawasan masing-masing kerana PKP dan PKPB, jadi mereka datang ke ibu negara," katanya.

Berhubung gelandangan yang diselamatkan sebelum ini, Khairul Azmir memaklumkan, seramai 539 gelandangan masih berada di pusat komuniti atau dewan serbaguna sekitar ibu negara, selebihnya sudah dituntut waris, mendapat pekerjaan baharu atau warga asing yang sudah diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

"Kita harap jika ada NGO yang mahu membantu gelandangan di Kuala Lumpur, sama ada menyumbang makanan atau pekerjaan, boleh berhubung dengan DBKL suapaya bantuan ini boleh diselaraskan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X