X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 5:29pm

COVID-19: Kluster baharu DTI Semenyih

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesan kewujudan satu kluster baharu membabitkan individu di depoh tahanan imigresen (DTI) dekat Semenyih, Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata saringan COVID-19 di premis tahanan imigresen itu kini giat dijalankan merangkumi 1,750 sampel, setakat ini.

"Daripada keseluruhan jumlah itu, kita dapati 21 kes adalah positif COVID-19," katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Kementerian Kesihatan kelmarin, melaporkan satu kluster baharu dikesan di DTI dekat Bukit Jalil membabitkan 35 kes positif COVID-19 dan kesemuanya membabitkan bukan warganegara Malaysia, iaitu 17 warga Myanmar, 15 (India), dan masing-masing seorang warga Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir.

Ditanya punca jangkitan, Dr Noor Hisham berkata, ia masih dalam siasatan, namun kementerian akan mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk mengetatkan proses saringan terhadap mana-mana tahanan sebelum ditempatkan di premis terbabit.

"Kita akan pastikan mereka (tahanan) negatif dulu, baru dimasukkan ke depoh tahanan.

"Setakat ini kita masih sedang siasat punca penularan, mungkin juga ia daripada kakitangan di depoh berkenaan yang masih bebas keluar masuk ke premis berkenaan.

"Bagaimanapun, saringan terhadap 114 kakitangan di DTI Semenyih mendapati semuanya negatif COVID-19, justeru kita sedang mencari punca lain," katanya.

Dr Noor Hisham turut tidak menolak faktor bahawa segelintir individu berkemungkinan tercicir daripada proses saringan ketika warga asing terbabit mendiami kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Setakat ini, katanya, semua penduduk di kawasan PKPD perlu menjalani saringan sebanyak dua kali, termasuk pada hari ke-13 iaitu sebelum tempoh pengeraman wabak berkenaan berakhir.

"Mungkin juga ketika disaring kali kedua, iaitu pada hari ke-13, saringan belum menunjukkan kesan positif, jadi kita sedang teliti kes ini.

"Penelitian turut merangkumi beberapa tempat tahanan seperti di Semenyih, Bukit Jalil dan Sepang, malah ia diperluaskan ke penjara bagi memastikan tiada penularan selanjutnya yang berlaku.

"Kita sudah maklumkan kepada pihak berkuasa penjara supaya sentiasa pastikan penjarakan sosial, amalan penjagaan kebersihan diri dan beberapa garis panduan lain sentiasa dipatuhi," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X