X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 6:40pm
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.FOTO/BERNAMA
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.FOTO/BERNAMA

Ismail Sabri mohon maaf sempena Aidilfitri

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, biasanya kelihatan tenang setiap kali mengadakan sidang media harian, selepas mesyuarat jawatankuasa khas menteri-menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra di sini.

Bagaimanapun, selepas sidang media hari ini beliau mengakui berasa sebak, ketika membuat permohonan maaf sempena 1 Syawal, pada siaran langsung sidang medianya.

"Saya rasa sebak ketika membuat permohonan maaf sempena Aidilfitri yang akan disambut esok tadi," Ismail Sabri memberitahu Setiausaha Akhbarnya Datuk Ruhaidini Abdul Kadir, petugas Jabatan Perdana Menteri, dan wakil media, selepas siaran langsung sidang media beliau tamat hari ini.

Pada akhir sidang media hari ini sebelum menerima sebarang soalan, Ismail Sabri berkata, hari ini merupakan hari terakhir dalam bulan Ramadan, dan esok umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, diam tak diam sudah 67 hari beliau mengadakan sidang media harian PKP.

"Dalam menyampaikan maklumat terkini harian, saya sebagai manusia biasa tidak terlepas dari salah dan khilaf.

"Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin," katanya.

Sidang media harian Ismail Sabri sering menjadi tumpuan, terutamanya pelbagai corak kemeja batik kreatif yang dipakai beliau, sehingga netizen menyamakannya dengan pelbagai juadah tempatan.

Beliau turut memaklumkan tidak ada sidang media esok dan ia akan disambung pada 2 syawal. – BERNAMA

Berita Harian X