Ahad, 24 Mei 2020 | 5:09pm

COVID-19: Kluster baharu DTI Sepang

KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 yang dicatat di seluruh negara hari ini menunjukkan peningkatan kepada 60 kes atau sebanyak 25 peratus, berbanding 48 kes semalam.

Sebanyak 53 kes daripada keseluruhan kes baharu COVID-19 yang dicatat setakat jam 12 tengah hari tadi dikesan berlaku secara penularan tempatan yang mana 33 kes membabitkan bukan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 27 kes membabitkan bukan warganegara itu merangkumi individu yang ditempatkan di depoh tahanan imigresen (DTI) di Semenyih, Selangor.

"Enam kes membabitkan kluster baharu di DTI dekat Sepang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan satu kluster baharu dikesan di DTI dekat Bukit Jalil membabitkan 35 kes positif COVID-19 dan semuanya merangkumi bukan warganegara Malaysia, iaitu 17 warga Myanmar, 15 (India), dan masing-masing seorang warga Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir.

Penularan dalam kalangan bukan warganegara itu semakin meruncing apabila satu lagi kluster baharu dikesan di DTI dekat Semenyih, semalam membabitkan 26 kes.

Memperincikan perkembangan positif, Dr Noor Hisham berkata, 33 kes didapati pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang bebas daripada jangkitan wabak berkenaan ialah 5,945 kes atau 82.1 peratus.

"Sehingga kini, sembilan kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini.

"Oleh itu, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.59 peratus," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
    Berita Harian X