Jumaat, 29 Mei 2020 | 10:48pm
Peniaga kuih-muih, Noor Hidayu Che Teh, melayan pelanggan di gerai jualannya di Kampung Banggol Kiat, Sik. - NSTP/NOR FARHANI CHE AD
Peniaga kuih-muih, Noor Hidayu Che Teh, melayan pelanggan di gerai jualannya di Kampung Banggol Kiat, Sik. - NSTP/NOR FARHANI CHE AD

Ibu tunggal lega CBRM bantu kelangsungan perniagaan

SIK: Pandemik COVID-19 jelas memberi kesan terhadap golongan peniaga, terutama dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), apabila pendapatan mereka rata-rata terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, keadaan itu sedikit pun tidak mematahkan semangat ibu tunggal, Noor Hidayu Che Teh, 26, untuk meneruskan perniagaan kuih yang dijalankan secara kecil-kecilan di Kampung Banggol Kiat, di sini.

Malah, ibu kepada dua anak itu bernasib baik apabila permohonannya untuk bantuan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional (CBRM) diluluskan dan kini sudah menerima 20 peratus daripada pinjaman berjumlah RM10,000.

CBRM ialah skim pembiayaan mikro bagi usahawan yang terjejas kesan daripada COVID-19, untuk memulih dan memulakan semula perniagaan sedia ada.

Noor Hidayu berkata, jumlah awal pembiayaan diterima pada April lalu itu diguna untuk meneruskan perniagaan secara dalam talian selepas gerai jualannya tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh PKP.

"Pendapatan memang terjejas sepanjang tempoh PKP dan sebelum menerima bantuan pinjaman, saya menggunakan wang simpanan untuk meneruskan perniagaan.

"Namun, selepas menerima 20 peratus wang pinjaman, ia sedikit sebanyak dapat menampung modal menjual kuih-muih. Saya turut menggunakannya sebagai modal perniagaan sampingan lain seperti menjual kek dan barangan kosmetik," katanya ketika ditemui, hari ini.

Noor Hidayu berkata, beliau kini berasa sedikit lega apabila dapat menjalankan semula perniagaan kuih-muih, selain memperoleh keuntungan daripada perniagaan secara dalam talian.

"Saya tidak tahu bagaimana hendak memulakan perniagaan semula sekiranya tiada pinjaman ini kerana tiada sumber pendapatan lain.

"Pinjaman ini membolehkan saya jadikannya modal pusingan, sekali gus membantu kelangsungan perniagaan yang dijalankan," katanya.

Bagi jumlah baki pinjaman yang belum diterima, Noor Hidayu bercadang untuk membina sebuah lagi stor jualan yang membabitkan kos RM2,000.

"Setakat ini, saya ada sebuah stor. Saya bercadang menambah sebuah lagi stor bagi membesarkan perniagaan dan menambah beberapa menu makanan lain," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X