Sabtu, 30 Mei 2020 | 9:00pm

COVID-19: Cheras jumlah tertinggi

PUTRAJAYA: Cheras menjadi daerah yang mempunyai taburan tertinggi kes COVID-19, iaitu sebanyak 328 kes dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata taburan berkenaan bagi penularan tempatan bagi daerah terbabit iaitu tidak mengambil kira kes import dari luar negara, kes merentas negeri dan rentas daerah.

Menerusi infografik yang dikongsi oleh Dr Noor Hisham di laman Facebook miliknya, selain Cheras daerah lain yang mempunyai taburan kes tertinggi COVID-19 ialah Hulu Langat mempunyai 101 kes, diikuti Lembah Pantai sebanyak 95 kes dan Rembau 57 kes.

Dr Noor Hisham berkata, semua daerah yang dinyatakan itu kini dikategorikan sebagai zon merah kerana mempunyai lebih 41 kes dalam tempoh 14 hari.

Katanya, sebanyak 31 kawasan dan daerah kini dikategorikan sebagai zon kuning kerana mempunyai satu hingga 40 kes dalam 14 hari yang lalu.

"Di Selangor antara daerah yang dikategorikan sebagai zon kuning ialah Petaling sebanyak 13 kes, Gombak (11), Klang (satu), Kuala Selangor (20), Kuala Langat (20), Sepang (40) dan Hulu Selangor (14).

"Selain itu, di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula antara zon kuning ialah Titiwangsa sebanyak 12 kes, diikuti Kepong sebanyak tiga kes dan Putrajaya sebanyak empat kes," katanya.

Beliau berkata Perak, Kedah, Terengganu dan Melaka masing masing masih mempunyai satu daerah yang dikategorikan sebagai zon kuning iaitu satu kes di Kinta, Kubang Pasu dan Kemaman, manakala tiga kes di Melaka Tengah.

Di Pahang, katanya, terdapat empat daerah masih berada di zon kuning iaitu satu kes di Jerantut, Kuantan (enam kes), Bentong (tiga) dan Rompin satu kes.

Bagi Negeri Sembilan pula, di Seremban terdapat tiga kes dan Kuala Pilah sebanyak satu kes. Johor Baharu pula mencatatkan tiga kes dan Kluang sebanyak satu kes.

Bagi Sabah dan Sarawak, tiga daerah masih berada di zon kuning iaitu Kuching empat kes serta satu kes masing masing di Serian dan Samarahan.

Sabah pula terdapat enam daerah berada di zon kuning iaitu mencatatkan satu kes di Tawau, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort dan Kota Marudu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X