Rabu, 3 Jun 2020 | 6:30pm

Pemimpin ARMADA ditahan bantu kes kehilangan wang Syed Saddiq - SPRM

KUALA LUMPUR: Penahanan seorang pemimpin Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan membantu siasatan kes kehilangan wang bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk SeriAhmad Khusairi Yahaya yang menolak sekeras-keraskan tangkapan itu bermotifkan politik.

Beliau berkata, hasil siasatan SPRM mendapati berlaku penyelewengan dalam akaun ARMADA dan tangkapan dilakukan untuk siasatan selanjutnya.

"Dia dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan direman lima hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117, Kanun Acara Jenayah.

"Saya menggesa masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan mempolitikkan tangkapan ini. Tiada motif politik tetapi ia bertujuan untuk menjalankan siasatan ke atas kes yang sedang kita laksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap Syed Saddiq yang mendakwa masih Ketua ARMADA, susulan kehilangan lebih RM200,000 dari kediaman milik bekas menteri itu di Petaling Jaya, 29 Mac lalu.

Syed Saddiq juga sudah dipanggil memberi keterangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dilaksanakan.

Beliau sebelum ini mendakwa, wang yang dicuri dari rumahnya itu adalah milik peribadi iaitu RM90,000 adalah miliknya; RM50,000 (ibunya) dan RM70,000 (bapanya).

Berita Harian X