Khamis, 4 Jun 2020 | 12:12am

Kehilangan pekerjaan meningkat 42 peratus pada suku pertama - PERKESO

KUALA LUMPUR: Berikutan pandemik COVID-19, kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun ini (Q1 2020), menurut Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam laporan bertajuk 'Employment Outlook, the 1st Quarter of 2020, Volume 4/2020, The Impact of COVID-19 on Loss of Employment (LOE)', SIP memaklumkan pandemik itu telah menjejaskan banyak perniagaan sehingga mengalami penurunan permintaan sebanyak 37 peratus atau tidak dapat beroperasi seperti biasa (42 peratus).

"Trend ini hanya dijangka meningkat dari April 2020, dengan kehilangan pekerjaan meningkat 50 peratus kepada 200 peratus tahun ke tahun bagi setiap suku berikutnya pada 2020," menurut laporan yang diterbitkan hari ini.

Di samping itu, kadar pengangguran dijangka mencecah empat peratus pada 2020 berbanding 3.2 peratus semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 3.7 peratus ketika kegawatan ekonomi pada 2018.

Sementara itu, angka pemberhentian pekerja dijangka sama seperti ketika krisis kewangan Asia pada 1997 berikutan langkah pencegahan menerusi Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU) yang diambil kerajaan untuk mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

"Kadar pengangguran belia kekal stabil pada tahap lapan ke 11 peratus. Bagaimanapun, mereka adalah demografi usia yang paling mudah terdedah kepada pemberhentian pekerja.

"Data LOE menunjukkan 61 peratus kehilangan pekerjaan adalah dalam kalangan pekerja berusia 40 tahun dan ke bawah, dengan 31 hingga 40 tahun menyumbang 32 peratus manakala pekerja di bawah 30 tahun sebanyak 29 peratus.

"Pekerja lelaki lebih cenderung diberhentikan kerja berbanding pekerja wanita iaitu 60 peratus, ini menggambarkan kenyataan bahawa terdapat lebih ramai pekerja lelaki daripada wanita dalam tenaga kerja," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut, daripada 7.5 juta kakitangan aktif berdaftar dengan PERKESO pada 2019, 1.458 juta bekerja dalam sektor berkaitan pelancongan manakala 1.457 juta bekerja dalam bidang pembuatan.

"Tidak menghairankan jika lebih daripada separuh perniagaan ditutup membabitkan majikan besar dengan lebih 200 pekerja dalam sektor pelancongan manakala sektor pembuatan memberhentikan paling ramai pekerja iaitu 23 peratus daripada jumlah keseluruhan untuk mengurangkan kos overhed selepas terpaksa menutup kilang-kilang mereka," menurut laporan itu.

Bagaimanapun, majikan yang tidak memberhentikan pekerja mereka sedang melakukan langkah-langkah penjimatan kos dengan satu daripada kaedah popular ialah mengurangkan gaji terutama pekerja yang telah bekerja lebih daripada lima tahun kerana gaji mereka biasanya 45 peratus lebih tinggi daripada pekerja baharu.

Pada kadar 41 peratus, pekerja muda berusia 30 tahun dan ke bawah merangkumi majoriti pekerja aktif berdaftar dengan PERKESO, peningkatan enam peratus dari 2018. Daripada jumlah itu, 70 peratus mempunyai pengalaman bekerja kurang daripada dua tahun.

Dalam pada itu, laporan itu menyebut peratusan pekerja berusia 40 tahun dan ke bawah yang berdaftar dengan PERKESO sebenarnya menurun sebanyak empat peratus pada 2019, daripada kalangan kumpulan ini, 84 peratus telah bekerja lebih dua tahun di syarikat yang sama.

Sebanyak 79 peratus kehilangan pekerjaan berlaku di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.

"Selangor yang paling tinggi dengan 32 peratus, namun perlu diperhatikan bahawa 30 peratus daripada kesemua pekerjaan berada di Selangor, mewakili peningkatan enam peratus berbanding 2018. Lebih membimbangkan adalah Kedah yang menyumbang satu daripada enam kehilangan pekerjaan walaupun menempatkan sejumlah kecil majikan.

"Kehilangan pekerjaan di Johor kebanyakannya dalam sektor perkilangan dengan 37 peratus dan industri berkaitan pelancongan sebanyak 36 peratus," menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan di negeri seperti Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan, kehilangan pekerjaan tertumpu kepada industri berkaitan pelancongan manakala negeri lain termasuk Putrajaya membabitkan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Sarawak (pembinaan), Pahang (sektor lain yang tidak dikelaskan), Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Terengganu (semua pembuatan).

"Rata-ratanya, setiap majikan mempunyai 15 pekerja asing untuk setiap pekerja yang diberhentikan. Nisbahnya lebih tinggi di syarikat besar dengan lebih 200 pekerja dengan 69 pekerja asing bagi setiap pekerja yang diberhentikan," menurut laporan itu.

Kehilangan pekerjaan berdasarkan negeri dan Wilayah Persekutuan membabitkan sektor pembinaan, kewangan dan insurans, ICT, pembuatan, profesional dan teknikal, berkaitan pelancongan dan sebagainya, merekodkan Selangor sebanyak 6,128, Kuala Lumpur (4,959), Johor (1,457), Kedah (1,297), Pulau Pinang (1,296), Sabah (1,183), Sarawak (845), Perak (727), Pahang (428), Melaka (284), Kelantan (196), Terengganu (171), Negeri Sembilan (159), Perlis (55), Labuan (38) dan Putrajaya (17).

Laporan itu turut memaklumkan bahawa sebagai usaha mengelakkan pemberhentian, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM14.05 bilion untuk membiayai program ERP dan PSU di samping meningkatkan manfaat SIP.

Permohonan PSU menunjukkan 79 peratus daripada perniagaan tidak dapat beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan hasil jualan menurun.

"Kira-kira tujuh peratus syarikat tidak dapat bertahan untuk lebih enam bulan pada rizab semasa sekiranya prospek tidak meningkat.

"Lebih daripada 90 peratus majikan merasakan perniagaan mereka terjejas dengan krisis ekonomi yang dikaitkan dengan COVID-19, daripada jumlah itu, 93 peratus merasakan langkah diambil kerajaan membantu mereka untuk terus bertahan," menurut laporan itu. – BERNAMA

Berita Harian X