Khamis, 4 Jun 2020 | 4:24pm
Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Aizuddin Saad
Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Aizuddin Saad

Muhyiddin dijangka mempengerusikan mesyuarat MPT BERSATU, malam ini

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), malam ini.

Perkara itu disahkan Naib Presiden, Datuk Abdul Rashid Ansari ketika dihubungi BH, hari ini.

"Besar kemungkinan Presiden yang juga Pemangku Pengerusi BERSATU akan hadir mesyuarat khas MPT, malam ini jika tiada perubahan jadual atau rutin Perdana Menteri.

"Tan Sri pun baru lepas menjalani kuarantin 14 hari, kemungkinan hadir itu tinggi," katanya ringkas.

Berdasarkan kepada surat jemputan diedarkan kepada ahli MPT dan ditanda tangani Setiausaha Kerja BERSATU, Muhamad Suhaimi Yahya, mesyuarat khas itu akan bermula pada jam 8 malam ini, di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM).

Agenda mesyuarat khas itu juga tidak dinyatakan namun difahamkan akan membincangkan kedudukan keahlian bekas Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen BERSATU dalam parti itu.

Ia susulan Dr Mahathir bersama empat Ahli Parlimen terbabit memilih untuk berada di blok pembangkang pada majlis pembukaan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara, 18 Mei lalu

Selain Dr Mahathir, Ahli Parlimen yang dimaksudkan ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abd Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini berkata, keahlian Dr Mahathir dan empat Ahli Parlimen BERSATU terhenti akibat tindakan mereka duduk di blok pembangkang.

Sementara itu, Abdul Rashid enggan mengesahkan apakah agenda atau perkara akan dibincangkan dalam mesyuarat khas MPT malam ini.

Beliau turut terkejut apabila mengetahui surat jemputan yang sepatutnya diedarkan hanya untuk ahli MPT bagi menghadiri mesyuarat khas itu, tular di media sosial sejak malam tadi.

Dalam pada itu, sumber berkata, Dr Mahathir tidak menerima jemputan bagi menghadiri mesyuarat khas itu.

Kata sumber itu, beberapa MPT juga tidak menerima surat jemputan berkenaan termasuk Datuk Marzuki Yahya dan Akhramsyah Ubaidah Muammar Sanusi.

Marzuki yang mendakwa masih menjadi Setiausaha Agung BERSATU yang sah berkata, beliau mungkin tidak dijemput menghadiri mesyuarat itu kerana sudah dipecat daripada jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Pulau Pinang.

Katanya, surat pemecatan itu bertarikh 2 Jun lalu yang ditanda tangani Muhyiddin dan ia berkuat kuasa serta-merta.

"Namun, saya tetap akan hadir ke lokasi mesyuarat itu diadakan walaupun tidak menerima jemputan," katanya.

Akhramsyah pula mendakwa beliau mengetahui mengenai mesyuarat selepas ditanya oleh seorang MPT yang ingin mendapatkan kepastian.

"Saya tahu dapat tahu secara tidak langsung apabila ditanya seorang oleh MPT, benarkah ada mesyuarat khas malam ini," katanya.

Beliau yang turut menerima surat pemecatan sebagai ahli MPT menegaskan akan tetap menghadiri mesyuarat itu malam ini walaupun tidak menerima jemputan.

Berita Harian X