Khamis, 18 Jun 2020 | 4:45pm
Malim Ghozali Pk.
Malim Ghozali Pk.

Malim Ghozali Pk meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2013, Mohd Ghazali Abdul Rashid, 71, atau lebih dikenali sebagai Malim Ghozali PK meninggal dunia selepas menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Serdang, jam 11.20 pagi tadi.

Sasterawan Perak itu, meninggalkan dua balu dan enam anak.

Isterinya, Ratnawati Jamil, 57, berkata Allahyarham menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian jantung, semalam selepas mengalami gangguan pernafasan berikutan ketumbuhan berkenaan semakin membesar.

"Sebelum pembedahan, Allahyarham ceria dan sihat, walaupun susah untuk bernafas.

"Bagaimanapun, tahap kesihatannya merundum selepas menjalani pembedahan semalam," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Ratnawati berkata, Allahyarham sempat menyiapkan beberapa karya termasuk novel terbaharunya, Gunung Cha.

"Allahyarham masih boleh menulis dan sempat menyiapkan kumpulan puisi termasuk novel terbaharunya, Gunung Cha yang turut beliau terjemahkan ke bahasa Inggeris.

"Naskhah itu sedang melalui proses suntingan dan akan diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)," katanya.

Mengulas lanjut tingkah laku Allahyarham beberapa hari sebelum meninggal dunia, beliau berkata, perwatakannya seperti biasa dan banyak bersembang mengenai karya sastera.

"Allahyarham banyak bersembang mengenai buku sehingga sebelum menjalani pembedahan semalam.

"Rakan Allahyarham turut terkejut dengan berita ini kerana dia ada menelefon, bersembang dan bergurau sebelum itu," katanya.

Mengenai sumbangan Allahyarham dalam dunia kesusasteran tanah air, Ratnawati berkata, begitu banyak pencapaian dan pengorbanannya bagi memartabatkan arena buku.

"Kami tahu betapa Allahyarham bertungkus-lumus setiap malam menulis dan walaupun dalam keadaan tidak sihat, beliau terus berkarya.

"Berapa banyak novel yang dihasilkannya sehingga antara pencapaian terbaiknya melalui naskhah Luka Nering atau Three of Sorrow yang disenaraikan pada peringkat awal untuk Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2016," katanya.

Ratnawati berkata, beliau akan melunaskan semua urusan berkaitan karya sastera pengarang itu yang tidak sempat untuk diterbitkan.

"Saya akan meneruskan semua kerja Allahyarham termasuk penerbitan buku terbaharunya sehingga ia menjadi kenyataan," katanya.

Sementara itu, akaun Facebook Malim Ghozali Pk dihujani ucapan takziah termasuk sasterawan, pengarang, penyair dan penggiat persatuan penulis.

Malim Ghozali Pk ialah pengarang prolifik yang menghasilkan karya dalam pelbagai genre. Antara karyanya ialah novel Redang; Janji Paramaribo; kumpulan cerpen, Usia dan kumpulan puisi, Gemaruang.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, selepas Asar hari ini.

Berita Harian X