X
Khamis, 2 Julai 2020 | 6:04pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

COVID-19: Kes kebolehjangkitan kurang daripada 100

PUTRAJAYA: Episod jangkitan COVID-19 di negara ini mencatatkan satu lagi kejayaan apabila kini bilangan kes kebolehjangkitan COVID-19 kini hanya 85 kes setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada angka berkenaan, tiga membabitkan kes positif baharu termasuk satu kes import.

Beliau berkata, kes import itu membabitkan seorang warganegara Malaysia manakala kedua-dua kes penularan tempatan dalam kalangan bukan warganegara.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terdapat 62 kes yang pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 8,437 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga 12 tengah hari ini, terdapat tiga kes baharu yang dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,643 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah kurang daripada 100 kes, iaitu 85 kes. Mereka diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jangkitan dalam negara membabitkan masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan iaitu dalam Kluster Bukit Bintang dan satu kes di Sabah, membabitkan satu kes saringan kes baharu masuk ke lokap di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, KKM juga tidak mencatatkan sebarang kes kematian sejak 19 hari lalu sehingga kini, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di negara ini kekal pada jumlah 121 atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X