Khamis, 2 Julai 2020 | 6:29pm
Sufri Daud, 60, abang kepada mangsa Harun Daud, mengimamkan solat hajat bersama ahli keluarganya di Jeti Pengkalan Kuala Kemasin, sebagai ikhtiar terakhir supaya mangsa ditemui. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Sufri Daud, 60, abang kepada mangsa Harun Daud, mengimamkan solat hajat bersama ahli keluarganya di Jeti Pengkalan Kuala Kemasin, sebagai ikhtiar terakhir supaya mangsa ditemui. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Selaman ketiga di bot terbalik selepas hidu bau busuk

BACHOK: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan pemeriksaan dan membuat selaman kali ketiga selepas orang ramai mendakwa hidu bau busuk dari bot terbalik yang ditempatkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Besar, tengahari tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pemeriksaan dan selaman dilakukan di bahagian dalam bot dan sekitar selama kira-kira 34 minit bermula jam 1 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan itu meliputi keseluruhan bot berkenaan yang panjangnya 15.4 meter, lebar 4.37 meter dengan kedalaman 1.29 meter.

"Kita terima aduan bau busuk itu jam 10.30 pagi dan mengambil keputusan membuat pemeriksaan kali ketiga di bot namun setakat ini belum ada mangsa dijumpai dalam bot berkenaan.

"Walau apapun aduan yang dibuat, kita akan ambil kira dan jalankan pencarian semaksima mungkin bagi mengesan tiga lagi mangsa. Menerusi bantuan anak pemilik bot dan tujuh lagi nelayan tempatan, kita turut membuat pemeriksaan rapi di bahagian dalam bot bagi mengesahkan ketiadaan mangsa," katanya ketika ditemui pada sidang media di Jeti Perikanan Kemasin, di sini, hari ini.

Katanya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga turut membantu menjalankan operasi mengepam keluar air dalam bot bagi membuat pemeriksaan lanjut.

"Kita akan teruskan pencarian ke sektor yang difikirkan lojik dan untuk pengetahuan, satu bot Maritim Malaysia hampir karam ketika operasi pencarian dilakukan ke tahap maksima. Ini antara cabaran yang dihadapi sepanjang operasi SAR dan pencarian akan diteruskan sehingga kesemua mangsa ditemui," katanya.

Beliau berkata, operasi diteruskan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis marin dan nelayan tempatan.

Memasuki hari ke-empat operasi, katanya, Maritim Malaysia membawa dua pegawai wanita untuk menyantuni isteri dan ahli keluarga mangsa bagi memberi sokongan emosi kepada mereka.

"Jika mangsa belum dijumpai, pihaknya bercadang menempatkan lagi pegawai dan anggota bagi menjaga emosi keluarga mangsa sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR). Setakat ini, kami lihat ahli keluarga mangsa sangat tabah dan mempunyai hati yang kuat, dan kita juga harapkan kerjasama komuniti laut seperti nelayan bagi mencari mangsa yang masih hilang," katanya.

Dalam kejadian 8.30 malam Isnin lalu, bot yang dinaiki 20 individu termasuk pemancing dan awak-awak terbalik akibat ombak besar dan ribut.

Susulan kejadian itu, 12 individu berjaya menyelamatkan diri dan lima individu ditemui meninggal dunia iaitu Wan Aminuddin Wan Hussin, 63; Mohd Syafizam Daud, 43; Muhammad Zaki Muhamad Nordin, 32; Pok Ta berusia 50-an dan Shafiq Che Alim, 29

Tiga lagi yang masih hilang hilang iaitu Harun Daud, 60; Arman Ismail, 43 dan Che Wadi Bakar, 40.



Berita berkaitan:

  • Tragedi bot terbalik: Mayat keenam ditemui
  • Tragedi bot terbalik: Solat hajat ikhtiar terakhir keluarga mangsa hilang
  • Bot terbalik ragut lima nyawa ditunda ke Jeti Kuala Besar
  • Operasi hari keempat diperluaskan lebih 400 batu nautika persegi
  • Berita Harian X