X
Isnin, 13 Julai 2020 | 6:10pm
Dr Noor Hisham. Foto NSTP
Dr Noor Hisham. Foto NSTP

Kluster baharu dikesan di Melaka

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan satu kluster baharu di Melaka yang dinamakan sebagai 'Kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Novgorod' yang kini sudah menjangkiti tiga individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster ini dikesan apabila terdapat kes ketiga yang positif COVID-19 hasil daripada saringan kontak rapat kepada kes kedua kluster terbabit.

"Kes pertama bagi kluster ini seorang warga negara Malaysia, iaitu kes ke 8,673 yang pulang ke Malaysia dari Russia pada 5 Julai lalu.

"Keputusan saringan COVID-19 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati beliau positif virus berkenaan dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Kes kedua kluster ini iaitu kes ke 8,718 adalah rakan kepada kes pertama, mereka menaiki pesawat sama pada 5 Julai lalu. Saringan COVID-19 ke atas kes kedua ini adalah negatif namun mula menunjukkan gejala demam dan saluran pernafasan dua hari kemudian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X