Selasa, 14 Julai 2020 | 1:21pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen semalam. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen semalam. - Foto BERNAMA

TH tak dikuasai bukan Islam - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak dikuasai oleh bukan Islam.

Penegasan itu dibuat dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (AMANAH-Parit Buntar).

Mujahid meminta Perdana Menteri menyatakan kedudukan jumlah aset terkini TH dan adakah benar kerajaan PH terdahulu menjual banyak aset TH dan membiarkan agensi dikuasai oleh orang bukan Islam.

Muhyiddin berkata TH juga kini mencatat lebihan aset sebanyak RM1.9 bilion.

"Kedudukan terkini aset TH pada 30 Jun 2020 seperti diumumkan dalam laporan prestasi TH setengah tahun pertama 2020 adalah berjumlah RM78 bilion dengan lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion.

"Selaras dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH, aset-aset yang kurang berdaya saing sudah dipindahkan kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

"Oleh itu, TH tidak dikawal oleh orang bukan Islam," katanya.

Menjawab persoalan lain dikemuka Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin), Perdana Menteri berkata, TH sudah mencatatkan prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik bagi tahun 2019.

"Bagi tahun kewangan 2019 yang masih diaudit, TH memperoleh pendapatan berjumlah RM3.2 bilion dijana terutamanya menerusi pelaburan aset pendapatan tetap (iaitu sukuk) yang memberi RM1.6 bilion atau 51 peratus daripada jumlah pendapatan TH.

"Pelaburan hartanah dan ekuiti masing-masing menyumbang sebanyak RM0.5 bilion dan instrumen pasaran wang Islam pula menjana RM0.4 bilion bagi tahun 2019," katanya.

Sementara itu, menjawab persoalan Dr Nik Muhammad Zawawi (PAS-Pasir Puteh), Muhyiddin berkata, tiada implikasi kewangan terhadap pengurusan TH apabila kerajaan mengambil keputusan tidak menghantar jemaah haji tahun ini.

"TH juga memaklumkan perkara yang sama kepada semua Pengelola Jemaah Haji (PJH) dan mereka telah membuat perancangan sewajarnya berkaitan sewaan hotel penginapan, manakala urusan penerbangan tidak dimuktamadkan," katanya.

Berita Harian X