Sabtu, 18 Julai 2020 | 9:01pm
Hujan lebat berserta angin kuat mengakibatkan pokok tumbang dan banjir kilang di beberapa lokasi di ibu kota, petang tadi. - NSTP/Ihsan Bomba
Hujan lebat berserta angin kuat mengakibatkan pokok tumbang dan banjir kilang di beberapa lokasi di ibu kota, petang tadi. - NSTP/Ihsan Bomba

KL dilanda banjir kilat, pokok tumbang

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berserta angin kuat mengakibatkan kejadian pokok tumbang dan banjir kilat di beberapa lokasi di sekitar ibu negara petang tadi.

Tiga kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan selepas dihempap pokok tumbang dalam dua kejadian berasingan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda dan Taman Pusat Kepong.

Antara laluan yang terjejas adalah di Jalan Kuching, Jalan Segambut Dalam, Jalan Maharajalela, Jalan Melaka, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Imbi.

Bahagian dapur sebuah rumah di Jalan Anthinahapan 2, Taman Tun Dr Ismail, di sini, turut dilaporkan mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam tiga kejadian pokok tumbang berkenaan.

Hujan lebat berserta angin kuat mengakibatkan pokok tumbang dan banjir kilang di beberapa lokasi di ibu kota, petang tadi. - NSTP/Ihsan Bomba
Hujan lebat berserta angin kuat mengakibatkan pokok tumbang dan banjir kilang di beberapa lokasi di ibu kota, petang tadi. - NSTP/Ihsan Bomba

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan anggota bomba dikerah ke semua lokasi terbabit untuk kerja menyelamat dan pembersihan.

"Kita turut menerima dua laporan kejadian pokok tumbang yang menyebabkan laluan terhalang iaitu di Jalan 82/86 Taman Seri Rampai dan Jalan Penchala 12, Sungai Penchala.

"Satu kejadian banjir kilat turut dilaporkan berlaku di hadapan Masjid Ububiah di Kampung Masjid, Jalan Segambut Dalam," kata kenyataan itu.

Katanya, kejadian tidak membabitkan mangsa dan pasukan bomba masih berada di lokasi untuk melakukan pemantauan.

Hujan lebat sejak kira-kira jam 5 petang tadi menyebabkan kawasan itu dilimpahi air banjir yang mengalir deras setinggi kira-kira 0.3 meter.

Berita Harian X