Ahad, 26 Julai 2020 | 12:30pm

Gubal akta kawal kandungan kreatif media sosial

Isu syarat Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Akuan Penggambaran (SPP) dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), mencetuskan polemik mengenai kebebasan media dan kreativiti serta hak individu dalam berkongsi kandungan di media sosial.

Wartawan BH Farihad Shalla Mahmud, Zaidi Mohamad dan Fatin Farhana Ariffin berkongsi pandangan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan dua personaliti media sosial atau Youtuber, Muhd Aliff Irfan Aziki atau lebih dikenali Alieff Irfan serta Mohd Nasrul Faiz Abu Azal (Faiz Dickie).

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. - Foto NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. - Foto NSTP

Soalan (S): Bagi menggalakkan perkembangan kandungan kreatif, termasuk dalam media sosial, bagaimanakah FINAS mahu mengawalnya agar tidak menyentuh isu sensitif seperti agama dan bangsa?

Jawapan (J): Agensi berkuasa mengawal kandungan ialah Lembaga Penapisan Filem (LPF). Bidang kuasa FINAS pula lebih kepada kandungan untuk pawagam, manakala stesen televisyen ada badan penapisan sendiri.

Apabila membabitkan media sosial, kita tidak berani mengatakan kita ada garis panduan tepat mengawal selia setiap kandungan. Akan timbul perdebatan, adakah Malaysia bersedia ke arah tapisan kendiri kerana medium baharu mudah diakses dalam mana-mana platform sedia ada. Adakah masih relevan untuk kita buat tapisan?

Lagipun, berdasarkan akta, peranan kita lebih kepada penerbitan, pengedaran dan penayangan. Bagi FINAS, kawal selia sangat sensitif dibincangkan. Bimbang orang akan salah tafsir seperti isu Netflix sebelum ini.

S: Perlukah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) dirombak dan ditambah baik sesuai perubahan teknologi, terutama mengawal kandungan kreatif agar tidak melanggar norma dalam konteks agama, bangsa dan negara?

J: Kalau kita baca kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, penggubalan atau pemindaan akta diberi penekanan. Ia antara fokus utama menteri ketika mula-mula memegang portfolio ini. Beliau meminta FINAS mengkaji semula akta sedia ada ini untuk disesuaikan situasi dan teknologi kini.

Kita tidak mahu akta yang boleh dianggap lapuk menjadi penghalang untuk pelbagai agenda yang ingin dilaksanakan. Kami juga dalam proses pelaksanaan untuk pemindaan akta FINAS, tetapi tidak dihebahkan kerana ia mengambil masa.

S: Ada melihat kewajaran syarat pengguna media sosial wajib mendapatkan lesen untuk membuat penggambaran kerana selain memudahkan pemantauan, mereka juga menjana pendapatan daripadanya. Apa komen FINAS?

J: Sehingga kini tiada penerangan jelas mengenai apa itu kandungan digital dan garis panduan yang boleh dijadikan rujukan. Oleh itu, penggubalan akta perlu dibuat segera untuk menyelesaikan perkara seperti ini.

Sukar sebenarnya mencari perbezaan kerana ia dipisahkan garis cukup tipis. Contohnya, penghasilan home video, adakah mereka buat secara profesional atau pun bukan? Apakah ia sekadar kerja suka-suka atau kerana mahu menjana pendapatan.

Bagaimanapun, FINAS sejak dulu tidak pernah campur tangan. Pada kami, ia hanya medium permulaan sebelum penggiat menjadi profesional. Media sosial ialah tapak permulaan.

Apabila sudah berstatus profesional, maka mereka tertakluk kepada akta kami, iaitu perlu mendapatkan lesen. Sesetengah orang melihat proses mendapatkan lesen sebagai membebankan kerana membabitkan wang.

Saya ingin jelaskan, kononnya untuk mendapatkan lesen, mereka perlu membayar RM50,000. Itu tidak benar. Jumlah itu ialah modal berbayar untuk sebuah syarikat. Pergilah mana-mana agensi pun, setiap syarikat ada nilainya.

Kita buat bersebab, iaitu apabila mereka ada lesen FINAS, mereka layak mendapatkan geran dan pelbagai faedah disediakan. Kita hendak menggalakkan mereka menjadi profesional, sekali gus mampu menjana pendapatan dalam posisi lebih besar.

S: Bagaimanakah maklum balas terhadap penjelasan kementerian?

J: Kami mendapat banyak maklum balas positif. Selain lega, isu ini menyebabkan pengguna media sosial seperti Youtuber, datang ke FINAS untuk mengembangkan bakat. Malah, ada menelefon FINAS bertanya mengenai permohonan lesen.

Ini mendekatkan golongan berkenaan kepada FINAS yang sebelum ini cukup asing buat mereka. Mereka menyedari fungsi FINAS dan apa kami tawarkan untuk pembangunan kerjaya. Saya harap anak muda menjurus ke arah industri kreatif, melihat FINAS sebagai tempat paling sesuai untuk perkembangan bakat.

S: Kerajaan mengakui kepentingan pembangunan ekonomi digital sebagai kuasa baharu menjana pendapatan. Apa boleh dilakukan FINAS bagi menggalakkan pengguna media sosial merebut peluang ini?

J: Kita perlu mengenal pasti bagaimana mahu menjuruskan mereka ke arah ekonomi digital dengan platform seperti YouTube, Facebook dan Instagram. Namun, tiada maknanya platform jika tiada kandungan.

Kandungan pula dihasilkan dua golongan, iaitu kelompok suka-suka dan satu lagi bermotifkan komersial serta menjana pendapatan. Kita perlu peka bagaimana hendak menghasilkan lebih ramai pembikin kandungan supaya apabila mereka bergelar profesional, pendapatan diraih akan patah balik kepada industri dan negara menerusi pembayaran cukai.

Sebab itu tanggungjawab kita lebih tertumpu kepada syarikat penerbitan atau produksi filem, bukan syarikat yang sediakan platform seperti stesen televisyen di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

S: Boleh jelaskan pihak mana sepatutnya memohon Lesen Pengeluaran Filem dan SPP?

J: Pihak yang perlu ialah pawagam dan stesen televisyen. Namun, ada juga membuat permohonan untuk platform alternatif seperti YouTube, tetapi kandungannya lebih bersifat profesional dan juga disiarkan di televisyen.

Jika was-was, mereka boleh merujuk FINAS. Sekiranya kandungan lebih kepada video biasa, mereka tidak perlu memohon lesen terbabit. Namun, jika hendak menggunakan tenaga kerja profesional seperti pembikin filem dan kru produksi, kita galakkan mereka memohon lesen.

Selain mendapat insentif, lesen itu berperanan sebagai pelindung. Oleh itu, FINAS dapat menjaga kebajikan tenaga pekerja terbabit. Bagi produksi pula, lesen itu membolehkan mereka mendapat tenaga kerja daripada persatuan berdaftar di bawah FINAS. Sekurang-kurangnya kita tahu kebajikan mereka terjaga seperti mendapat perlindungan insurans.

S: Apakah syarat perlu dikaji semula dan relevan dengan perkembangan dunia penerbitan serta kandungan kreatif semasa?

J: Apa yang termaktub dalam syarat sebelum ini memang relevan. Ketika ini, syarat itu memang dalam proses penambahbaikan. Ini sudah dibincangkan pada mesyuarat dan dalam penilaian terakhir peringkat perundangan. Selepas selesai, kita akan memaklumkan kepada semua.

Syarat ini sepatutnya sudah dibuat penambahbaikan sejak dahulu lagi tetapi ia tidak pernah berlaku. Kali ini, selepas saya kembali ke FINAS, perkara ini dititikberatkan. Kita tidak mahu melihat lesen atau syarat sebagai sesuatu membebankan, sebaliknya galakan untuk mereka mendapatkan insentif dan berfungsi sebagai melindungi hak pekerja perfileman tempatan.

S: Dalam penjelasan lalu, FINAS mendapati Al Jazeera International (Malaysia) Sdn Bhd (Al Jazeera) tidak mempunyai lesen pengeluaran filem untuk penerbitan dokumentari 'Locked Up in Malaysia's Lockdown'. Bagi mengelak ia berulang, apakah langkah penguatkuasaan yang diambil FINAS?

J: Saya tidak dapat komen isu Al-Jazeera kerana sudah menjadi kes polis. Apabila kita buat siasatan, ia bertujuan membantu siasatan polis. FINAS menyerahkan perkara ini kepada polis. Apabila sudah ada keputusan nyata, baru kami berani mengupas. Kami tidak mahu jika dikeluarkan kenyataan, ia bercanggah dan merumitkan lagi penyiasatan yang sedang dijalankan.

Youtuber sokong tapis hasil karya dimuat naik

Mohd Nasrul Faiz Abu Azal (Faiz Dickie).
Mohd Nasrul Faiz Abu Azal (Faiz Dickie).

S: Ada pihak menganggap kawalan lebih mudah dilakukan jika syarat Lesen Pengeluaran Filem dan SPP diperkenalkan bagi semua individu termasuk Youtuber dan personaliti media sosial?

J: Ia ada kebaikan dan keburukannya. Syarat pemilikan lesen filem dan SPP boleh menjadi langkah baik jika kandungan dimuat naik didapati menyentuh nama dan maruah negara hingga timbul pertikaian. Sedikit sebanyak kita dapat menapis kandungan dimuat naik di media sosial.

Sebaliknya, syarat itu boleh membebankan, terutama bagi mereka menjadikan proses penghasilan video sebagai cara menjana pendapatan kecil-kecilan.

Kita tahu, proses menghasilkan video mengambil masa. Apabila dikenakan syarat memohon lesen dan kebenaran FINAS, ia pasti mengambil masa sangat lama. Ini menyusahkan kami sebagai influencer dan pengguna media sosial yang menjadikan platform digital sebagai kerjaya.

S: Apakah kerajaan perlu membezakan antara pengguna biasa, social influencer (golongan berpengaruh dalam media sosial) dan mereka yang memuat naik kandungan untuk menjana pendapatan?

J: Agak sukar untuk membezakan antara orang biasa dan social influencer. Hampir semua orang menjadikan media sosial sebagai antara sumber pendapatan. Bukan sahaja influencer, malah orang biasa. Peniaga juga menjadikan media sosial sebagai platform mempromosikan perniagaan.

Jika langkah mewajibkan permohonan lesen filem dan SPP mahu diambil, kerajaan mungkin boleh mewajibkan permohonan lesen bergantung kepada kandungan dihasilkan.

Contohnya, jika kandungan dihasilkan berkaitan negara, perpaduan, kaum atau agama, mereka perlu memohon lesen. Namun, sekiranya lebih kepada unsur santai dan hiburan, tidak wajib untuk memohon kebenaran.

S: Apakah ada cara mengawal kandungan, termasuk video dimuat naik dalam media sosial termasuk YouTube dan TikTok?

J: Daripada mewajibkan permohonan lesen, saya fikir lebih baik kita memperkenalkan sistem permohonan pelepasan berpandu kepada kandungan yang mahu dimuat naik.

Jika hanya menghasilkan video atau membuat ulasan secara suka-suka seperti ulasan di hotel penginapan ketika bercuti, ia tidak memerlukan lesen.

Namun, jika kandungan dibuat untuk tujuan komersial atau membabitkan topik agak sensitif, barulah diwajibkan memohon lesen.

Muhd Aliff Irfan Aziki (Alieff Irfan).
Muhd Aliff Irfan Aziki (Alieff Irfan).

S: Apa reaksi anda apabila kali pertama mendapat tahu mengenai polemik isu Lesen Pengeluaran Filem, SPP dan kebebasan berkarya?

J: Saya amat terkejut apatah lagi membabitkan kerjaya sendiri sebagai Youtuber dan pembekal kandungan.

Namun, saya tidak cepat melatah, sebaliknya mendapatkan penjelasan daripada teman yang bekerja dalam dunia perfileman agar lebih faham dengan isu dibangkitkan.

Selepas membuat semakan, saya dapati individu yang mahu mendapatkan Lesen Pengeluaran Filem dan SPP perlu mempunyai modal berbayar RM50,000. Saya bercita-cita menjadi pengarah filem dan penerbit.

Jadi, saya faham pentingnya memohon lesen bagi menghasilkan karya besar seperti filem.

Saya sedang berusaha memiliki studio produksi sendiri selepas banyak menghasilkan filem dan drama pendek selama bergiat aktif di platform YouTube.

S: Apa galakan yang kerajaan boleh beri kepada anak muda yang mahu menguasai potensi dunia digital, termasuk media sosial?

J: Menyediakan kursus kelas seminar, mengadakan pertandingan seperti video pendek. Jika boleh menyediakan geran atau pinjaman sebagai modal untuk memulakan video kreatif serta menambah baik kualiti.

S: Apakah mekanisme terbaik dalam mengawal kandungan kreatif dihasilkan anak muda?

J: YouTube ada sekatan untuk pengawalan kandungan lucah, pelanggaran dan lain-lain. Jika perkara ini mahu dikawal dengan lebih baik, kerajaan boleh mewujudkan pertubuhan khas untuk berinteraksi dan mengawal influencer dan 'pencipta kandungan.' Jadi, lebih mudah berkomunikasi dan kerajaan dapat memantau pengawalan kandungan kreatif.

Berita Harian X