Sabtu, 1 Ogos 2020 | 3:41pm
Tinjauan di sekitar Dataran Putrajaya pada hari pertama pemakaian pelitup muka yang diwajibkan kerajaan hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Tinjauan di sekitar Dataran Putrajaya pada hari pertama pemakaian pelitup muka yang diwajibkan kerajaan hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Majoriti individu pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR: Majoriti penghuni ibu negara dilihat mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka, khususnya di kawasan tumpuan umum dan dalam pengangkutan awam seperti diwajibkan kerajaan, mulai hari ini.

Tinjauan BH di sekitar ibu kota mendapati, rata-rata pengunjung ke pusat beli-belah dan yang menaiki pengangkutan awam menggunakan pelitup muka tiga lapis pakai buang, yang kini dijual secara meluas.

Selain orang dewasa, kanak-kanak juga menggunakan pelitup muka jenis sama tetapi dalam saiz lebih kecil.

Serentak dengan penguatkuasaan peraturan berkenaan, premis awam seperti stesen Perkhidmatan Transit Aliran Mass (MR) atau Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) mewajibkan perkara itu ke atas semua penumpang.

Orang awam memakai pelitup muka ketika menaiki LRT pada tinjauan kepatuhan orang awam terhadap arahan yang diwajibkan kerajaan bermula hari ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Orang awam memakai pelitup muka ketika menaiki LRT pada tinjauan kepatuhan orang awam terhadap arahan yang diwajibkan kerajaan bermula hari ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Seorang anggota polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad yang mahu dikenali sebagai Syahfiq, berkata penumpang yang enggan mematuhi aspek berkenaan dilarang menggunakan kemudahan pengangkutan awam itu.

"Kami juga mengarahkan mereka mengimbas kod atau menulis butiran diri, sebelum suhu masing-masing diambil.

"Mana yang tidak memiliki pelitup muka mereka akan diarahkan membeli Pejabat Khidmat Pelanggan RapidKL," katanya.

Hairul Azlan Mohd Ghazali (kanan) mengambil bacaan suhu menantunya pada hari perkahwinan anaknya di Kampung Gajah, hari ini. - Foto NSTP/Fadzilah Hashim
Hairul Azlan Mohd Ghazali (kanan) mengambil bacaan suhu menantunya pada hari perkahwinan anaknya di Kampung Gajah, hari ini. - Foto NSTP/Fadzilah Hashim

Hairul Azlan Mohd Ghazali (kanan) mengedarkan pelitup muka kepada tetamu yang datang pada majlis perkahwinan anaknya di Kampung Gajah hari ini. - Foto NSTP/Fadzilah Hashim
Hairul Azlan Mohd Ghazali (kanan) mengedarkan pelitup muka kepada tetamu yang datang pada majlis perkahwinan anaknya di Kampung Gajah hari ini. - Foto NSTP/Fadzilah Hashim

Petugas Pejabat Khidmat Pelanggan RapidKL Stesen Bukit Bintang, yang hanya dikenali sebagai Adawiyah berkata, pelitup muka itu dijual pada harga RM3 untuk dua keping.

"Stok kami biasanya dibeli pengguna yang berdepan situasi tidak diduga, seperti tali pengikat putus atau pelitup muka mereka terkoyak," katanya.

Seorang pekerja swasta, Mohd Faris Hafifi, 25 berkata pemakaian pelitup muka bukan lagi sesuatu yang janggal dilihat ketika ini.

Mengakui agak sukar mulanya untuk membiasakan diri dengan penggunaan alat itu, Mohd Faris berkata, beliau berharap kerajaan menggunakan mekanisme khusus dalam mengawal harga siling pelitup muka berkenaan.

"Simpati saya dengan golongan kurang berkemampuan, tetapi perlu menggunakan pelitup muka secara kerap. Perlu ada pengkhususan yang jelas dalam hal ini," katanya.

ORANG ramai memakai pelitup muka ketika di pusat beli-belah.- Foto NSTP
ORANG ramai memakai pelitup muka ketika di pusat beli-belah.- Foto NSTP

Seorang penuntut pusat pengajian awam, Mazni Nazeri, 23, berkata, peraturan ini seharusnya dikuatkuasakan sejak awal lagi, ketika penularan pandemik COVID-19 masih mampu dikawal di Malaysia.

"Ketika itu, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kita dapat lihat masih ramai yang enggan menggunakan pelitup muka," katanya.

Pada 23 Julai lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan keputusan kerajaan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum, mulai 1 Ogos.

Ismail Sabri dilaporkan sebagai berkata, langkah itu diambil berikutan penambahan kluster-kluster jangkitan COVID19 baharu yang dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Kegagalan orang ramai mematuhi arahan itu boleh mengakibatkan mereka didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, memberi teguran dan pemantauan supaya orang ramai mematuhi SOP pemakaian pelitup muka di sekitar Pasar Besar Othman Petaling Jaya. - Foto NSTP/Fathil Asri

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, memberi teguran dan pemantauan supaya orang ramai mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka di sekitar Pasar Besar Othman Petaling Jaya. - Foto NSTP/Fathil Asri

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X