Sabtu, 1 Ogos 2020 | 9:22pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA

COVID-19: Angka harian kes baharu kembali satu digit

KUALA LUMPUR: Angka harian kes baharu COVID-19 di Malaysia kembali kepada satu digit dengan sembilan jangkitan dilaporkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan setakat jam 12 tengah hari itu menjadikan bilangan kes positif di Malaysia kini mencecah 8,985, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula 213.

Beliau berkata, sembilan jangkitan baharu itu meliputi tujuh kes import membabitkan lima rakyat Malaysia dan dua lagi bukan warganegara.

Tujuh kes import itu adalah dari India (dua kes di Selangor), Emiriah Arab Bersatu (satu - Selangor), Jepun (satu - Selangor), Switzerland (satu - Selangor), Filipina (satu - Perak) dan Pakistan (satu - Perak).

"Bagi dua kes penularan dalam negara pula, satu membabitkan rakyat Malaysia dan satu lagi bukan warganegara.

"Penularan dalam negara membabitkan rakyat Malaysia itu adalah di Kedah daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga, manakala bukan warganegara pula dikesan di Selangor daripada Kluster Bukit Tiram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiga pesakit pulih, hari ini, menyaksikan jumlah kumulatifnya mencecah 8,647 kes (96.2 peratus).

Dua pesakit pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kematian akibat wabak itu dilaporkan, hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya kekal 125 kes (1.39 peratus).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X