Rabu, 5 Ogos 2020 | 9:52pm

Letupan disangka gempa bumi - penuntut Malaysia di Lubnan

KUALA LUMPUR: Letupan dahsyat di sebuah gudang di pelabuhan Beirut, semalam mencetus gegaran kuat sehingga ramai yang menyangkakan ia sebagai gempa bumi.

Perkara itu dimaklumkan seorang penuntut Malaysia di Lubnan, Ismail Zulkifli, yang mengakui turut merasai gegaran kuat ketika menghadiri majlis minum petang di kediaman seorang pegawai di Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan.

Penuntut tahun akhir di Universiti Islam Beirut itu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, dia dapat merasakan kediaman bergegar, namun mendiamkan diri seketika sebelum satu lagi letupan yang lebih kuat bersama gegaran lebih dahsyat dirasai.

"Ketika keluar ke balkoni, saya melihat orang ramai di kawasan berhampiran berkumpul di jalan raya jalan raya sambil menjerit-jerit.

"Kepulan asap besar berwarna jingga juga jelas kelihatan di ruang udara kawasan Pelabuhan Beirut, katanya ketika dihubungi BH.

Ismail yang hampir lima tahun menuntut di Beirut, berkata kesan letupan dan gegaran turut menyebabkan kawasan kediaman pegawai kedutaan mengalami kerosakan di mana pintu rumah terkopak dan pintu balkoni juga terkeluar daripada relnya.

Walaupun masih bingung dengan kejadian itu, katanya dia dan rakyat Malaysia lain mengambil keputusan menuju ke kediaman Kedutaan Malaysia, bagi tujuan mendapatkan perlindungan.

"Semasa dalam perjalanan saya lihat orang ramai berkumpul di jalan raya sebelum dimaklumkan tentang situasi sebenar letupan yang berlaku di Beirut.

"Di kediaman kedutaan, kami menghubungi rakan-rakan penuntut dari Malaysia sebelum dimaklumkan semuanya selamat.

Sekitar jam 10 malam waktu (4 pagi Malaysia) barulah saya dibenarkan pulang ke kediaman di kawasan Aishah Bakkar yang terletak 10 minit perjalanan dengan kereta ke lokasi kejadian letupan," katanya.

Penuntut yang berasal dari Semenyih, Selangor itu berkata, kediamannya juga sedikit retak, namun keadaan lebih parah berlaku di dewan kuliahnya.

Kesan gegaran dan letupan itu mengakibatkan hampir sebahagian besar kawasan kampus terjejas teruk dengan keadaan cermin pecah, siling jatuh dan retakan yang besar.

"Keluarga di kampung menasihatkan saya pulang ke tanah air dalam masa terdekat, namun saya merancang menyiapkan tesis akhir terlebih dahulu sebelum kembali Oktober depan," katanya.

Ismail menunjukkan keadaan luar Universiti Islam Beirut, yang turut retak akibat letupan di Pelabuhan Beirut, semalam - Foto Ihsan penuntut Malaysia di Lubnan
Ismail menunjukkan keadaan luar Universiti Islam Beirut, yang turut retak akibat letupan di Pelabuhan Beirut, semalam - Foto Ihsan penuntut Malaysia di Lubnan
Keadaan dewan kuliah penuntut Malaysia di Universiti Islam Beirut, Aishah Jabbar, Beirut, Lubnan - Foto Ihsan penuntut Malaysia di Lubnan
Keadaan dewan kuliah penuntut Malaysia di Universiti Islam Beirut, Aishah Jabbar, Beirut, Lubnan - Foto Ihsan penuntut Malaysia di Lubnan
Berita Harian X