Sabtu, 15 Ogos 2020 | 11:32pm
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - NSTP/DANIAL SAAD
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - NSTP/DANIAL SAAD

Taman Awam Vision diarah tutup 7 hari

KEPALA BATAS: Taman Awam Vision, di sini, diarahkan tutup selama tujuh hari berikutan pihak pengurusannya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ia hasil operasi bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bermula jam 5.00 petang tadi selepas menerima maklumat mengenai kehadiran orang ramai di taman itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata Kementerian Kesihatan mengeluarkan notis arahan penutupan itu kerana pengurusan taman berkenaan tidak mengawal jumlah pengunjung yang hadir.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap dua peniaga di kawasan taman itu kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan, termasuk tiada penjarakan fizikal dalam kalangan pelanggan mereka.

"Polis akan meneruskan operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, malam ini. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X