Khamis, 27 Julai 2017 | 2:34pm

UMT, ITBM terbit 50 buku

PUTRAJAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyasarkan penerbitan lebih 50 judul buku bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menjelang 2021.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata kerjasama itu dapat membuka peluang kepada universiti bagi memartabatkan bahan penerbitan dan hasil kajian masing-masing pada peringkat global.


Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Katanya, kerjasama itu mampu membawa hasil penerbitan UMT ke peringkat lebih luas melalui terjemahan ke bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Jepun, Perancis, Mandarin atau Arab.

"Kerjasama penerbitan dan pemasaran ini juga tepat pada masanya bagi menyokong kempen 'Visit Beautiful Terengganu 2017' selain mempromosi negara serta penerbitan berunsurkan Pantai Timur di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh 2017," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Kerjasama Pemasaran Penerbitan di antara UMT dan ITBM.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof Dr Mazlan And Ghaffar.

UMT adalah universiti awam (UA) Pantai Timur pertama menjalin kerjasama penerbitan dan pemasaran dengan ITBM dan melalui kerjasama lima tahun ini, bercadang menerbitkan buku berunsur Malaysia bagi menarik pasaran peringkat global.

Sebelum ini, UMT dan ITBM menerbitkan dua judul iaitu Keropok Lekor Terengganu edisi bahasa Inggeris, yang dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Frankfrut pada 2015 dan Ikan Lut Sinar di Taiwan pada Julai 2015.

Buku Keropok Lekor Terengganu dipilih sebagai pemenang Buku Umum Terbaik (kategori Khazanah Warisan)

pada Anugerah Buku Negara 2014 dan Ikan Lut Sinar sebagai buku Terjemahan Terbaik di Anugerah Buku Negara 2017.

Berita Harian X