Rabu, 16 Ogos 2017 | 5:07pm
PENDUDUK yang menghadiri program 1Rumah 1Mahasiswa # Moh Masuk KPTM - Tawaran istimewa kepada anak-anak Jerantut lepasan SPM & STPM dan bantuan insentif RM200 permulaan belajar dari Parlimen Jerantut di Jerantu, Pahang. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PENDUDUK yang menghadiri program 1Rumah 1Mahasiswa # Moh Masuk KPTM - Tawaran istimewa kepada anak-anak Jerantut lepasan SPM & STPM dan bantuan insentif RM200 permulaan belajar dari Parlimen Jerantut di Jerantut, Pahang. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KPTM sedia 3,000 tempat menerusi 1Rumah 1Mahasiswa

KUALA LUMPUR: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) menyediakan 3,000 tempat di sembilan kampusnya di seluruh negara untuk pelajar baharu menerusi pengambilan pada 10 September ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata pengambilan menerusi Program 1Rumah 1Mahasiswa itu bertujuan membantu pelajar Melayu dan Bumiputera dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Katanya, ia peluang untuk mereka menyambung pengajian masing-masing dengan syarat minimum tiga kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Usaha ini diilhamkan daripada program Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) yang pergi ke seluruh pelusuk negara bagi memberi peluang pengajian kepada pelajar Melayu dan Bumiputera," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut, berkata sejak 4 Ogos lalu, pihaknya pergi dari rumah ke rumah dengan bantuan ketua UMNO bahagian seluruh negara untuk mempromosi program itu.

Program itu, katanya, bagi merealisasikan impian melahirkan sekurang-kurangnya seorang mahasiswa dalam satu keluarga.

"Selain tawaran ini, pelajar juga boleh mendapatkan wang pendahuluan MARA pada kadar minimum RM1,000 hingga RM2,000 menerusi MARA daerah dengan menunjukkan surat tawaran daripada KPTM.

"Menerusi program ini, caj pendaftaran dikenakan serendah RM250, malah bagi kawasan Jerantut, saya menaja RM200 dan pelajar hanya perlu bayar RM50," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KPTM, di sini semalam.

Program KPTM Sehati Sejiwa Santai Merdeka: Apresiasi Tun Razak itu membawa orang kurang upaya (OKU) dan warga emas menaiki MRT di Stesen Tun Razak Exchange (TRX), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Tinggi MARA, Abd Hamid Ahmad dan Pengarah Program CSR itu merangkap pelajar Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) KUPTM, Nurul Jannah Athira Zainal.

Program itu membabitkan 40 pelajar KUPTM dan 20 OKU dari Taman Sinar Harapan serta 10 penghuni Rumah Taman Seri Kenangan yang menaiki tren MRT dari Stesen Bandar Tun Hussein Onn, Cheras ke TRX.

Mengenai program itu, Ahmad Nazlan berkata, ia bagi mendekati dan menghargai warga emas serta OKU supaya mereka tidak tersisih dalam kepesatan arus pembangunan negara, selain memperingati sumbangan Bapa Pembangunan Negara, Tun Abdul Razak.

"Jika tidak diadakan program sebegini, mungkin mereka tidak berpeluang menggunakan kemudahan seperti MRT ini. Mereka kelihatan seronok sepanjang perjalanan melihat kawasan yang dilalui.

"Dalam program ini juga, kami ingin menyuntik semangat cintakan negara terhadap golongan OKU untuk bersama-sama merasai serta mengambil peluang menyambut bulan kemerdekaan," katanya.

Berita Harian X