Isnin, 28 Ogos 2017 | 7:19pm
DATUK Seri Idris Jusoh bersama bergambar tetamu yang hadir pada majlis Hari Anugerah Institusi Pengajian Tinggi anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di Kementerian Pendidikan Tinggi.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor

MDEC tingkatkan program digital di universiti

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bekerja rapat dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi melaksana program digital dan melahirkan graduan yang menepati pasaran global.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata program itu diadakan sebagai langkah ke hadapan bagi melahirkan bakat baharu dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Kata beliau, lapan universiti awam dan swasta serta lima politeknik dipilih bagi menyertai program khas itu.

"Usaha ini akan diadakan secara berterusan dengan universiti lain yang bekerjasama terus dengan industri selaras dengan pelan induk kementerian," katanya pada sidang media sempena Majlis Hari Anugerah Institut Pengajian Tinggi anjuran MDeC, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood.

Pada majlis itu, Idris turut menyampaikan Sijil Premier Teknologi Digital kepada institusi terpilih.

Yasmin berkata, MDeC akan menjalin kerjasama berterusan dengan pihak industri bagi melahirkan lebih ramai bakat dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, negara memerlukan lebih satu juta pakar dalam bidang digital menjelang 2020, sekali gus mendorong pihaknya mengadakan program dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menghasilkan pakar.

Katanya, pelajar perlu diberikan peluang mendalami bidang berkenaan termasuk menerima biasiswa dari pihak luar.

Berita Harian X