Isnin, 4 September 2017 | 9:45pm

UMP hasilkan 'sanitizer' daun sirih

KUANTAN: Daun sirih yang suatu ketika dulu cukup dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu kerana dijadikan kudapan serta bahan penjagaan kesihatan, kini hanya menjadi penyeri atau hiasan set hantaran untuk majlis perkahwinan.

Namun, inovasi oleh penyelidik daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang (UMP) diketuai pensyarahnya, Datin Prof Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim, bakal mengubah persepsi masyarakat moden kepada sirih kerana ia kini boleh dijadikan cecair pembunuh kuman atau 'sanitizer'.

ANTARA bahan-bahan cecair pembunuh kuman 'sanitizer' hasil kajian sekumpulan penyelidik di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang. - Foto Shahrinnahar Latib

Ia berbeza dengan cecair pembunuh kuman sedia ada dalam pasaran kerana dapat mengelakkan masalah kulit merengsa berikutan penggunaan etanol iaitu bahan kimia alkohol yang asasnya dari petroleum.

 

Mimi Sakinah berkata, penyelidikan serta usaha inovasi itu dijalankan sejak 2008, apabila pihaknya mahu mencari formula khas yang boleh menjadi antiseptik untuk digunakan dalam kehidupan harian.

 

"Mulanya, kami menggunakan daun binahong dalam menghasilkan produk seperti sabun dan krim, bagaimanapun ia dianggap kurang berjaya kerana tidak kelihatan menarik yang mungkin menyebabkan ia sukar dipasarkan.

 

"Kami melakukan penyelidikan lanjutan untuk menghasilkan produk antiseptik mampu dipasarkan dan akhirnya berjaya membangunkan inovasi sanitizer diperbuat daripada daun sirih," katanya ketika ditemui BH di UMP Kampus Gambang, dekat sini, baru-baru ini.

 

MIMI Sakinah menunjukkan cecair pembunuh kuman 'sanitizer' hasil kajiannya. - Foto Shahrinnahar Latib

Mimi Sakinah berkata, inovasi itu sudah diuji oleh Makmal Bioserasi dan Klinik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan ia selamat digunakan, selain digunakan secara dalaman di UMP serta sebuah hospital swasta untuk mendapatkan maklum balas.

 

"Setakat ini ramai memberikan maklum balas positif antaranya kulit pemakai lembap apabila memakainya, tidak merengsa seperti produk lain.

 

"Ketika ini kita sedang melakukan penyelidikan lanjutan bagi mempelbagaikan perasa kerana setakat ini hanya ada perasa lemon. Ada juga permintaan supaya tidak dicampur sebarang perisa bagi kegunaan jemaah haji," katanya.

MIMI Sakinah (kanan) melihat mesin pembotolan cecair pembunuh kuman 'sanitizer' di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang. - Foto Shahrinnahar Latib

 

Beliau berkata, masa sama pihaknya juga dalam proses mendapatkan pensijilan halal bagi cecair pembunuh kuman terbabit dan ia perlu melalui pelbagai proses termasuk perakuan pengurusan amalan terbaik daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

 

"Ia mempunyai tiga peringkat dan kita kini berada di tahap ketiga, antara aspek diambil kira adalah memastikan kebersihan makmal, sekiranya berjaya memperolehnya, maka peluang mendapat persijilan halal agak tinggi.

 

"Kita bakal menjadi pengeluar pertama mendapat pensijilan halal bagi produk cecair pembunuh kuman sekiranya berjaya, pengguna tidak lagi perlu was-was menggunakannya," katanya.

MIMI Sakinah menunjukkan mesin pengadun cecair pembunuh kuman 'sanitizer' di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang. - Foto Shahrinnahar Latib

Berita Harian X