Sabtu, 21 Oktober 2017 | 5:59pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Loh Chee Keen penerima Sarjana Muda Ekonomi pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2017 di Dewan Cancelor Universiti Malaya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Loh Chee Keen penerima Sarjana Muda Ekonomi pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2017 di Dewan Cancelor Universiti Malaya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan beramah mesra bersama penerima Anugerah Pelajaran Diraja kepada Nur Hana Mohamed Ariffin (kiri) dan Loh Chee Keen (kanan) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2017 di Dewan Cancelor Universiti Malaya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan beramah mesra bersama penerima Anugerah Pelajaran Diraja kepada Nur Hana Mohamed Ariffin (kiri) dan Loh Chee Keen (kanan) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2017 di Dewan Cancelor Universiti Malaya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Integriti tingkatkan reputasi universiti

KUALA LUMPUR: Hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi menjelang 2020 bergantung kepada tahap nilai integriti yang dimiliki warga universiti.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, integriti dan kepemimpinan berintegriti, bukan saja penting dalam organisasi dan negara tetapi memiliki integriti yang tinggi sebahagian daripada sifat ilmuwan yang diperlukan bagi institusi pendidikan tinggi.

"Reputasi universiti akan berada di tahap tinggi, jika berjaya mendidik, mengasuh, membimbing dan menghasilkan graduan yang berintegriti. Universiti Malaya (UM) wajib berada di barisan hadapan sebagai jaguh agenda integriti.

"Sebagai pusat perkembangan ilmu dan tamadun yang bertanggungjawab melahirkan cerdik pandai, UM mempunyai tanggungjawab besar untuk menyemai nilai integriti dalam usaha melahirkan graduan terbaik," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UM kali ke-57, di sini, hari ini.

Titah baginda, sebagai universiti berprestij, UM berjaya membentuk graduannya memiliki daya kepemimpinan berwibawa, mempraktikkan budaya kerja cemerlang dan mempunyai jati diri tinggi serta menghayati agama secara mendalam.

Baginda yang juga Canselor UM memuji usaha universiti hingga melonjak dalam ranking dunia dari tangga 133 pada tahun 2016 ke tangga 114 di dalam QS World University Rankings 2017.

UM tersenarai dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings by Subject 2017 dalam lima subjek, iaitu kejuruteraan elektrik (ranking ke-23); pengajian pembangunan (ranking ke-26); kejuruteraan mekanikal (ranking ke-33); kejuruteraan kimia (ranking ke-38); dan pendidikan (ranking ke-41).

Baginda bertitah, setiap warga universiti seharusnya memahami perbezaan antara insan berpelajaran dengan insan berpendidikan dan antara insan berpengetahuan dengan insan berilmu.

"Insan berpelajaran mungkin menguasai pelbagai pengetahuan tetapi tidak merasa bersalah memanipulasikan pengetahuan untuk kepentingan diri, meskipun mengakibatkan kesengsaraan kepada insan lain dan kehidupan alam.

"Sementara insan berpendidikan ialah insan berilmu yang dilengkapi komponen roh, lalu menyedari akan etika dan batas yang wajib dihormati," titah baginda lagi.

Sultan Nazrin turut mengingatkan graduan supaya bersedia menghadapi realiti dunia yang kian mencabar, bukan sahaja dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan kesediaan fizikal terhadap pasaran kerja tetapi juga melengkapkan diri dengan akhlak dan budi sebagai teras pembinaan roh.

"Integrasi antara akal dan jiwa perlu selari, kerana tidak mungkin modal insan yang cemerlang, tinggi inteleknya, mantap spiritualnya, dapat dilahirkan jika salah satu elemen ini dipinggirkan," titah baginda.

Bersempena konvokesyen kali ini juga, Sultan Nazrin turut berkenan melancarkan 'Kompilasi Titah Istiadat Konvokesyen Canselor Ketiga Universiti Malaya Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah'.

Istiadat Konvokesyen UM kali ke-57, sekali lagi memasyhurkan Tan Sri Siti Norma Yaakob, sebagai Pro Canselor untuk tempoh lima tahun.

Seramai 4,867 graduan menerima ijazah mereka pada konvokesyen bermula hari ini dengan 645 menerima Ijazah doktor falsafah, 1,795 ijazah sarjana dan 2,427 ijazah sarjana muda.

Dalam majlis hari ini, Prof Anthony Crothers Milner menerima menerima Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan daripada Sultan Nazrin.

Istiadat konvokesyen kali ini turut menyaksikan Pengerusi Eksekutif IOI Corporation Berhad, Tan Sri Lee Shin Cheng dikurniakan ijazah kehormat pada sidang keempat, esok.

Pakar Pediatrik, Dr Lin Hai Peng dan bekas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Datuk Dr Zainal Kling menerima gelaran Profesor Emeritus.

Sidang pembukaan hari ini juga menyaksikan graduan Fakukti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Nur Hana Mohamed Ariffin dan graduan Fakukti Ekonomi dan Pentadbiran, Loh Chee Keen dikurniakan Anugerah Pelajaran Diraja.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X