X
Khamis, 26 Oktober 2017 | 8:13pm
ANIS Fazlin menerima Anugerah Anumerta bagi pihak bapanya daripada Pro Canselor Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid (dua dari kanan) di Istiadat Konvokesyen ke-19 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UPSI, Proton City. - Foto Ihsan UPSI
ANIS Fazlin menerima Anugerah Anumerta bagi pihak bapanya daripada Pro Canselor Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid (dua dari kanan) di Istiadat Konvokesyen ke-19 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UPSI, Proton City. - Foto Ihsan UPSI

Anak sebak terima ijazah sarjana arwah bapa

TANJUNG MALIM: "Sebulan sebelum sakit, saya datang menemani ayah ke UPSI untuk menghantar tesis, namun kedatangan kali ini berbeza kerana terpaksa mewakili arwah untuk menerima ijazah,"

Demikian luah hati daripada Anis Fazli Bong Suadi, 22 dalam nada sebak selepas menerima segulung ijazah bagi pihak bapanya yang meninggal dunia.

Beliau menerima secara anumerta Ijazah Sarjana Pendidikan (Psikologi Pendidikan), Fakulti Pembangunan Manusia bagi pihak bapanya, Bong Suadi Hashim, 51, yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 31 Mei lalu.

Ketika menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham adalah Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Latihan, Kementerian Kesihatan.

Ijazah itu disampaikan oleh Pro Canselor, Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen Ke-19, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor UPSI, Proton City, di sini, hari ini.

Anis Fazlin yang juga anak tunggal berkata, sebelum ini beliau sering menemani bapanya datang ke UPSI untuk menyiapkan tugasan.

Katanya, beliau mahu mencapai kejayaan dicapai bapanya itu selain berazam untuk membahagiakan ibunya, Norafiza Abu Bakar, 42, yang turut hadir bersamanya hari ini.

Sementara itu, Norafiza berkata, beliau sedih namun bersyukur kerana arwah suaminya dapat menamatkan pengajian dan bangga dengan pencapaian itu.

Katanya, suaminya mengalami pendarahan pada otak tetapi berjaya melakukan pembedahan, namun takdir menentukan segala-segalanya apabila suaminya itu diserang pula sakit jantung.

Berita Harian X