Isnin, 18 Disember 2017 | 8:21pm
PENGARAH UTHM Kampus Pagoh, Prof Datuk Dr Abdul Razak Omar (dua dari kanan) bersama pelajar menunjukkan hasil inovasi terbaharu yang dikenali sebagai 'Bys-Kiosk Adam Hawa'. - Foto Badrul Kamal Zakaria
PENGARAH UTHM Kampus Pagoh, Prof Datuk Dr Abdul Razak Omar. - Foto Badrul Kamal Zakaria
PELAJAR Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTHM, Nurul Fazilawati Hawa Ahmad. - Foto Badrul Kamal Zakaria
PELAJAR Pusat Pengajian Diploma UTHM, Siti Sri Noraini Ta'ahal. - Foto Badrul Kamal Zakaria

'Bys-Kiosk Adam Hawa' untuk berniaga

MUAR: Seiring dengan perkembangan dunia digital serta ingin memenuhi matlamat kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan pada masa akan datang, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh tampil memperkenalkan perkhidmatan kiosk secara berbasikal.

Inovasi terbaharu yang dikenali sebagai 'Bys-Kiosk Adam Hawa' itu adalah gabungan tiga komponen utama iaitu basikal roda tiga elektrik yang dilengkapi dengan kemudahan kiosk dan dibantu dengan sebuah aplikasi jual beli secara digital.

Pengarah UTHM Kampus Pagoh, Prof Datuk Dr Abdul Razak Omar, berkata uniknya 'Bys-Kiosk Adam Hawa' ini mempunyai kombinasinya tersendiri iaitu menerusi konsep 'masterprenuer' yang terdiri daripada pengusaha kedai runcit yang terdapat di kawasan kampung berhampiran kampus ini.

Katanya, menerusi inovasi itu, 'masterpreneur' terbabit akan bekerjasama dengan pelajar UTHM yang akan bertindak sebagai 'streetpreneur' yang akan bertindak sebagai penjual barangan terbabit sebagai permulaan.

"Streetpreneur ini juga akan berkerjasama dengan kumpulan asnaf khususnya golongan fakir miskin di kawasan kampung dan mereka akan bergerak untuk menjual produk berkenaan dan secara tidak langsung dapat menaikkan tahap ekonomi mereka kelak.

"Semua barangan yang jual ini boleh ditempah menerusi aplikasi 'AHM Micromart yang dibangunkan oleh UTHM dengan kerjasama pihak industri berkaitan dan setiap pesanan ini akan dihantar kepada pembeli tidak lama kemudian," katanya kepada BH di UTHM Kampus Pagoh di sini.


'Bys-Kiosk Adam Hawa' adalah gabungan basikal roda tiga elektrik yang dilengkapi dengan kemudahan kiosk dan dibantu dengan sebuah aplikasi jual beli secara digital. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Dr Abdul Razak yang juga Profesor di Fakulti Teknologi Pengurusan dan Perniagaan UTHM berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) supaya inovasi itu akan dapat diperluaskan kepada golongan asnaf kelak.

"Inovasi ini akan dapat membantu usahawan dalam memperkenalkan produk mereka dengan mudah menerusi projek mikromart yang ditransformasi dalam bentuk digital dan gabungan iaitu kerjasama antara kerajaan, akademik, komuniti dan pihak industri.

"Kita gabungkannya dan membentuk satu inovasi yang dapat memanfaatkan masyarakat tempatan dengan 'streetpreneur' pintar ini khususnya memupuk minat golongan pelajar dan asnaf dalam bidang keusahawan ini," katanya.

Beliau berkata, selain itu pihaknya sudah menerima sokongan daripada pihak Majlis Perbandaran Muar (MPM) dalam melaksanakan projek daripada hasil inovasi terbaharu dan yang pertama seumpama ini di Malaysia dengan rancangan untuk membuka sebuah bazar di sini.

"Bazar atau lebih dikenali sebagai 'uptown' itu dijangka akan dibuat berdekatan dengan kampus UTHM di Pagoh ini di mana pelajar akan membuka kiosk berkenaan dan melakukan perniagaan pada waktu malam.

Sementara itu, pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTHM, Nurul Fazilawati Hawa Ahmad, 20, berkata beliau berasa bangga kerana terpilih untuk menyertai program itu yang dilihat dapat memupuk minatnya untuk mendalami ilmu keusahawanan.

"Menerusi inovasi ini, kami akan didedahkan dengan ilmu keusahawan termasuk penggunaan teknologi secara digital. Selain dapat menimba ilmu dan pengalaman, kami juga akan diajar kaedah perniagaan dan membangunkan web sendiri kelak," katanya.

Bagi pelajar Pusat Pengajian Diploma UTHM, Siti Sri Noraini Ta'ahal, 19, berkata beliau percaya menerusi program berkenaan akan mendekatkan pelajar untuk menyertai bidang keusahawan pada masa akan datang.

"Saya rasa bertuah kerana terpilih untuk menyertai program ini dan mendapat bimbingan daripada Dr Abdul Razak sendiri. Ia sangat bagus kerana ia dapat membantu kami memahami selok belok perniagaan dan membolehkan kami berkecimpung dalam bidang keusahawanan kelak," katanya.

Berita Harian X