Khamis, 4 Januari 2018 | 9:19pm

Taylor's College pindah ke kampus Lakeside

SUBANG JAYA: Selepas hampir 50 tahun berada dalam industri pendidikan, Taylor's College di Subang Jaya dan Sri Hartamas kini berpindah ke kampus Taylor's Lakeside, bermula hari ini.

Kira-kira 800 pelajarnya akan memulakan kuliah di kampus moden itu bagi memastikan mereka terdedah dalam suasana lebih kondusif dengan kemudahan terkini, seiring dengan perubahan keperluan landskap pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Taylor's, Datuk Loy Teik Ngan, berkata perpindahan berlaku pada masa yang tepat dan pihaknya percaya ia perlu untuk perubahan keperluan pelajar terutamanya membabitkan landskap pendidikan yang terus berkembang.

Beliau berkata, dalam perubahan teknologi digital yang pantas dan pasaran kerja sentiasa berubah, pelajar perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa.

"Justeru, strategi untuk berpindah ke kampus Lakeside adalah langkah yang mencabar tetapi bersesuaian. Kami percaya dengan kemudahan berkualiti tinggi akan menjanjikan pengalaman akademik yang terbaik.

"Kampus Lakeside bakal menjadi peneraju hab pendidikan masa depan yang menitikberatkan pendidikan holistik dan pada masa sama membawa transformasi digital dalam pendidikan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan kedatangan pelajar dari dua kampus berkenaan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan.

Memegang rekod berjaya menempatkan lebih 1,000 graduan cemerlang di 200 universiti teratas dunia setiap tahun, langkah itu juga membolehkan Taylor's College menempatkan pelajar di universiti pilihan mereka dengan memberikan kemudahan pengajaran dan pembelajaran bertaraf dunia.


JOSEPHINE (empat dari kanan) bersama pelajar Taylor's College di kampus Taylor's Lakeside, di Subang Jaya, hari ini.

Sementara itu, Josephine berkata, institusi pendidikan tinggi sudah lama dianggap sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan dan membentuk bakat sedia ada.

"Pelajar akan mendapat manfaat daripada kampus Taylor's Lakeside yang memiliki makmal terkini, perpustakaan empat tingkat lengkap dengan teater mini, makmal komputer dan bermacam kemudahan lain," katanya.

Berita Harian X