Isnin, 15 Januari 2018 | 7:35pm

'Izz Imil luar biasa'

BANGI: Pada usia lima tahun, Izz Imil Shahrom yang menghidap autisme memiliki kebolehan menakjubkan apabila berupaya menyelesaikan soalan Matematik dan Kimia Tingkatan Empat.

Keupayaan luar biasa kanak-kanak lelaki ceria itu dikesan ibunya, Ilyah Abdul Aziz, dan bapanya, Imil Shahrom Abdul Ghani, apabila menyedari Izz menunjukkan minat terhadap angka sejak berusia tiga tahun.

Ilyah berkata, anaknya yang menghidap autisme tahap sederhana dan hyperlexia, cenderung dalam Matematik dan Sains hingga mampu menjawab pelbagai aras soalan Matematik dan Kimia.

"Izz mempunyai masalah pertuturan ketika kecil dan pelbagai usaha dijalankan untuk membantu perkembangannya, namun saya mendapati dia lebih berminat kepada angka.

"Bermula dari situ, saya mengambil pendekatan mengajarnya dengan melabelkan semua perkara menggunakan nombor.

"Ini termasuk mengenal pasti saya dan bapanya menggunakan angka bagi membantu Izz menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain," katanya ketika ditemui BH pada sesi pendaftaran dan taklimat pelajar baharu Pusat PERMATApintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Izz yang terpilih menyertai Pusat PERMATApintar UKM adalah antara 138 pelajar yang mendaftar di pusat terbabit bagi sesi pembelajaran baharu.

Ilyah berkata, keputusan menghantar Izz ke pusat PERMATApintar dibuat selepas melihat anaknya gembira dengan aktiviti dijalankan sepanjang mengikuti Program Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar, bulan lalu.

"Sebelum ini Izz pernah dihantar ke prasekolah, tetapi tahapnya yang lebih tinggi daripada rakan sebaya menyebabkan dia gagal menyesuaikan diri," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat PERMATApintar UKM, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak, berkata Izz adalah pelajar termuda dipilih mengikuti program itu sejak ditubuhkan pada 2011.

Katanya, pemilihan kanak-kanak pintar itu dipersetujui selepas melihat perkembangannya yang pintar dan cerdas berbanding pelajar seusianya.

"Ini pertama kali kami mengambil pelajar berusia lima tahun selepas mengesan kebolehan Izz ketika dia mengikuti Program Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar.

"Selepas melalui beberapa saringan, kami mendapati tahap perkembangannya menyamai kanak-kanak berusia dalam lingkungan 15 hingga 17 tahun.

"Bagaimanapun, memandangkan usianya masih muda, Izz akan berulang-alik dari rumah ke pusat ini setiap hari bagi mengikuti sesi pembelajaran," katanya.

665 dibaca
Izz Imil, 5 (tengah) bersama ibu, Ilyah Abdul Aziz (kiri) dan bapa, Imil Shahrom (kanan) adalah pelajar paling muda yang daftar masuk ke PERMATApintar di Pusat PERMATApintar Negara, Bangi. - Foto /Rosela Ismail
Berita Harian X