Ahad, 21 Januari 2018 | 2:42pm
PENGERUSI Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Datuk Ahmad Nazlan Idris menyampaikan wang bantuan persekolahan kepada pelajar yang layak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana, Jerantut hari ini. - Foto Roselan Malik

KPTM giat promosi tarik penuntut antarabangsa

JERANTUT: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) kini giat mengadakan promosi di negara ASEAN dan Asia Barat untuk menarik lebih ramai penuntut menyambung pelajaran mereka di lapan kolej dan sebuah kolej universiti miliknya.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata langkah itu selaras hasrat KPTM untuk mengantarbangsakan kolej yang sedia ada bagi mewujudkan persaingan dalam kalangan penuntut.

"Kita sedang menuju ke arah kolej bertaraf antarabangsa sebagai mengikuti langkah dibuat KPTM induk di Kuala Lumpur dan ia selaras saranan dikemukakan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Sehubungan itu, KPTM kini giat mengadakan promosi di luar negara terutama di negara ASEAN dan Timur dalam usaha memperkenalkan kolej milik KPTM," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Padang Saujana Dr Azman Uzair dan Pengerusi PIBG SMK Padang Saujana, Rafli Satar.

Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut, berkata pada masa ini pihaknya mempunyai 60 penuntut luar negara iaitu dari Thailand dan Indonesia yang melanjutkan pengajian di kampus induknya di Cheras.

"KPTM melantik beberapa ejen di luar negara untuk mempromosi kemudahan kolej serta 64 program yang ditawarkan di peringkat diploma dan ijazah.

"KPTM menawarkan pelbagai program pendidikan merangkumi bidang kejuruteraan, sains sosial, kejururawatan, teknologi maklumat dan bidang profesional," katanya.

Berita Harian X