Rabu, 28 Februari 2018 | 10:04pm
Pensyarah FIM , Mohd Ghazali Maarof memberi penerangan cara kerja di kilang dengan menggunakan teknik pembelajaran kilang dalam kampus di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kampus Gambang. - Foto Farizul Hafiz Awang
PELAJAR Universiti Malaysia Pahang (UMP) didedahkan dengan penggunaan mesin dan peralatan sama dengan di industri di kilang yang dibangunkan dalam kampus UMP di Gambang untuk meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka.

UMP wujud 'kilang' dalam kampus

KUANTAN: Graduan universiti kurang mahir menyesuaikan diri di lapangan sedangkan memiliki pengetahuan tinggi berkaitan teori dalam menyelesaikan masalah atau menghasilkan sesuatu, sering kali mencetus keluhan industri.

Kekurangan pendedahan berkaitan dunia sebenar alam pekerjaan termasuk aspek pengendalian peralatan asas yang tidak disediakan di universiti, menjadi antara punca sehingga sedikit sebanyak menjejaskan status kebolehpasaran graduan.

Menyedari permasalahan itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi Fakulti Pengurusan Industri (FIM) mengambil inisiatif mewujudkan kilang dalam kampus bertujuan mendedahkan pelajarnya kepada dunia sebenar industri yang bakal mereka terokai.

Pensyarah FIM, Mohd Ghazali Maarof, berkata idea membina kilang pembelajaran dalam kampus di UMP Kampus Gambang itu bermula sejak 2016 dan fasa pertama sudah siap tahun lalu, menyaksikan sebuah premis Industri 2.0 dibangunkan dengan kos RM200,000.

PELAJAR mempraktikkan cara kerja di kilang dengan menggunakan teknik pembelajaran kilang dalam kampus di Universiti Malaysia Pahang (UMP, Kampus Gambang. - Foto Farizul Hafiz Awang

Beliau yang juga Ketua Teknikal FIM, berkata UMP adalah universiti awam di negara yang membangunkan kilang pembelajaran dalam kampus yang mampu membina produk atau prototaip elektrikal dan ia memberi kelebihan kepada pelajarnya sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

"Menerusi pembelajaran dalam kilang ini, pensyarah boleh memberikan teori dan pada masa sama menunjukkan kepada pelajar kaedah penggunaan peralatan dengan situasi sama seperti berada di industri.

"Pelajar juga akan diberi tugasan dalam bentuk projek yang memerlukan mereka menggunakan peralatan sebenar dan memainkan peranan dalam sebuah pasukan dengan rakan lain, untuk menghasilkan produk atau menyelesaikan masalah.

PENSYARAH FIM , Mohd Ghazali Maarof (dua dari kanan) menunjukkan cara penggunaan peralatan untuk memasang prototaip produk di kilang dibangunkan dalam kampus terletak di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kampus Gambang. - - Foto Farizul Hafiz Awang

"Ia bermakna pelajar juga didedahkan dengan kemahiran lain seperti bagaimana bekerjasama, susun atur peralatan dan logistik supaya operasi berjalan lancar...pendek kata mereka dinilai berdasarkan dunia industri sebenar," katanya ketika ditemui di sini

Perancangan teliti

Mengulas lanjut, Mohd Ghazali berkata proses untuk menghasilkan kilang pembelajaran itu memerlukan perancangan teliti supaya ia benar-benar menepati kehendak industri yang mahu tenaga kerja yang mampu berdepan apa jua situasi.

"Kita ambil pandangan daripada pihak industri dan 'orang' lama dalam industri yang mempunyai pengalaman berpuluh tahun...kita cuba menjadikan kilang ini fleksibel dan memudahkan pergerakan operasi.

"Oleh itu susun atur agak berbeza seperti contoh lazimnya kita lihat wayar diletakkan di lantai, tetapi kita letakkannya di atas supaya mudah untuk pelajar atau pekerja melakukan kerja pemasangan komponen," katanya.

PENSYARAH FIM , Mohd Ghazali Maarof (dua dari kanan) menunjukkan cara penggunaan peralatan untuk memasang prototaip produk di kilang dibangunkan dalam kampus terletak di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kampus Gambang. - Foto Farizul Hafiz Awang

Beliau berkata, pihaknya kini merancang untuk menaik taraf kilang pembelajaran itu bagi memenuhi ciri-ciri kilang Industri 4.0 yang berasaskan robotik dan ia bakal meningkatkan lagi kemampuan program teknikal dan vokasional (TVET) di UMP.

  

"Kita berharap untuk membangunkannya pada tahun depan dan apabila siap, kita akan mempunyai dua kilang pembelajaran...bagus juga sekiranya pelajar didedahkan dengan kedua-dua kaedah termasuk pengendalian secara manual sebagai persediaan berdepan pelbagai cabaran," katanya.

Berkongsi kepakaran

Sementara itu, Pengarah Pusat Keusahawanan Universiti Malaysia Pahang (MyPACE), Nazarudin Bujang, berkata kilang pembelajaran itu bukan hanya memberi manfaat kepada pensyarah dan fakulti FIM, sebaliknya semua fakulti di UMP.

"Mereka boleh menggunakannya untuk membina prototaip atau produk selepas melakukan penyelidikan, selain itu kita juga dapat membantu masyarakat terutama pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dalam mengembangkan perniagaan mereka.

"Kita pernah membawa sekumpulan pengusaha IKS ke sini dan mereka dapat melihat sendiri bagaimana peralatan dan mesin di kilang pembelajaran itu dapat membantu meningkatkan produktiviti...ia selaras hasrat Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, untuk berkongsi kepakaran dengan masyarakat," katanya.

Berita Harian X