Sabtu, 7 April 2018 | 6:08pm
MENTERI Wilayah Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan pelajar yang menyertai Jelajah Pendidikan Bumiputera di Kompleks Rakan Muda. - Foto Roselan Ab Malek
MENTERI Wilayah Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar (dua dari kiri) meninjau pelajar mendaftar dengan IPTA di program Jelajah Pendidikan Bumiputera di Kompleks Rakan Muda. - Foto Roselan Ab Malek

Tun M khianati pelajar Bumiputera

BERA: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mathathir Mohammad, mengkhianati pelajar Melayu dan Bumiputera apabila memperkenalkan sistem merit untuk kemasukan ke universiti awam (UA) ketika zaman pemerintahannya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan beliau memperkenalkan sistem merit menyebabkan ramai pelajar Melayu dan Bumiputera gagal memasuki UA.

"Dr Mahathir sebenarnya yang menghancurkan peluang kemasukan pelajar Bumiputera ke universiti awam walaupun ketika itu tidak ada desakan daripada kaum lain.

"Apabila kuota Melayu dan Bumiputera dihapuskan, ramai pelajar Melayu dan Bumiputera gagal memasuki UA kerana tidak dapat bersaing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jelajah Pendidikan Bumiputera peringkat Parlimen Bera, di Dewan Rakan Muda Bera, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Pengarah Dasar dan Penyelidikan Pejabat Perdana Menteri, Muhammad Ammir Haron dan Pengerusi Kolej PolyTech Mara (KPTM), Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, ketika itu, kaumMelayu, Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak masih belum mampu untuk bersaing berbanding pelajar yang tinggal di kawasan bandar.

"Datuk Seri Najib (Razak) yang kembalikan peluang kepada pelajar Melayu dan Bumiputera, dengan mewujudkan Jelajah Pendidikan Bumiputera sejak tahun 2016.

"Oleh itu, beliau yang layak digelar penjuang pendidikan kaum Bumiputera khususnya di kawasan luar bandar," katanya.

Ismail Sabri berkata, Jelajah Pendidikan Bumiputera, yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu amat signifikan apabila berjaya membantu seramai 98,000 pelajar Melayu dan Bumiputera melanjutkan pengajian ke UA.

Beliau yang juga Menteri Mentor kepada jelajah itu berkata, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan mendaftar seramai 65,000 pelajar Melayu dan Bumiputera ke UA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh negara.

"Program ini adalah peluang kedua kepada pelajar luar bandar yang layak untuk mengubah masa depan mereka menerusi bidang pendidikan.

"Kita juga perluaskan program ini di 92 Parlimen, termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Berita Harian X