Khamis, 12 Julai 2018 | 4:19pm
Rektor Universiti Islam Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin menyampaikan anugerah khas peringkat UIAM kepada Prof Datuk Dr Sidek Baba pada majlis penyampian Anugerah Khidmat Cemerlang Pentadbiran dan Akademik sempena Hari Kualiti UIAM 2018 di Pusat Kebudayaan UIAM. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dana bantu lonjak UIAM ke persada dunia

GOMBAK: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memohon kerajaan memperuntukkan dana mencukupi, selari dengan peranan institusi pendidikan itu menghasilkan graduan cemerlang untuk dunia.

Rektornya, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin, berkata bajet yang memenuhi keperluan berupaya melonjak prestasi UIAM, sekali gus menjadikan institusi itu sebagai rujukan di peringkat global.

Katanya, hampir 22 peratus daripada jumlah pelajar UIAM adalah pelajar antarabangsa dan yakin peratusan itu akan terus meningkat jika dunia luar melihat kemampuan universiti menghasilkan graduan cemerlang.

"Bahkan UIAM mempunyai kakitangan daripada 40 negara luar bersesuaian dengan keperluan pelajar antarabangsa yang belajar di sini.

"Secara tidak langsung faktor kewangan menjadi satu cabaran bagi UIAM kerana ia termasuk dalam pembayaran gaji kakitangan berkenaan," katanya ketika ditemui pada Hari Kualiti UIAM 2018, di sini, hari ini.

Rektor Universiti Islam Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin menerima sumbangan daripada IQRAA yang di sampaiakan oleh Pengarah Tajaan IQRAA, Dr Awad Al-Thubaity pada majlis penyampian Anugerah Khidmat Cemerlang Pentadbiran dan Akademik sempena Hari Kualiti UIAM 2018 di Pusat Kebudayaan UIAM. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Terdahulu, pada majlis itu, IQRAA iaitu sebuah badan di bawah naungan Dallah Albaraka Holding Company berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi memberi sumbangan tajaan biasiswa hampir RM1.3 juta kepada pelajar UIAM terpilih yang disampaikan oleh Pengarah Tajaannya, Dr Awad Al Thubaity.

Selain itu, pensyarah pendidikan UIAM, Prof Datuk Dr Sidek Baba, 72, turut dianugerahkan Ikon Akademik UIAM di atas sumbangannya serta akan dicalonkan dalam Anugerah Akademik Negara.

Zaleha berkata, situasi kampus memberi kelebihan kepada pelajar tempatan untuk bersaing dalam suasana komuniti antarabangsa yang tidak kekok untuk berdepan cabaran luar.

"Ia dibuktikan apabila 90,000 graduan berkualiti berjaya dihasilkan dalam pelbagai bidang sejak 35 tahun penubuhannya. UIAM turut menyasarkan untuk menaikkan jumlah pelajar antarabangsa sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

"Ini adalah sumbangan kita kepada dunia. Justeru kewujudan UIAM bukan hanya untuk Malaysia, tetapi dunia dan kita akan terus menyumbang," katanya.

Berita Harian X