Jumaat, 10 Ogos 2018 | 6:05pm
AERON (tengah) diiringi Fadzlena (dua dari kiri) bersama pelajar ketika Seminar PT3 2018 di SMK Tanjung Adang, Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Rahim

Forest City komited bantu komuniti sekitar

GELANG PATAH: Forest City terus komited menumpukan pelaksanaan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) yang mampu memanfaatkan penduduk setempat sekitar pembangunannya.

Penekanan itu membabitkan tiga teras utama iaitu pembangunan belia dan pendidikan, kesedaran alam sekitar serta pembangunan masyarakat.

Pengarah Komunikasi Korporat Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Aeron Munajat, berkata tumpuan terhadap pembangunan pendidikan dan belia perlu dilaksanakan awal sejak pada peringkat kanak-kanak lagi.

Katanya, pihaknya juga menjalin kerjasama dengan Kelab Alami iaitu badan bukan kerajaan (NGO) tempatan khususnya membabitkan pelaksanaan program yang dapat menggalakkan lagi kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar.

“Setiap program yang kami laksanakan adalah sistematik dan berterusan bagi memanfaatkan komuniti di sekitar, di samping turut bekerjasama dengan penghulu kampung bagi mengetahui permasalahan penduduk serta keperluan yang boleh dibantu.

“Kami juga menganjurkan program memanfaatkan komuniti seperti pemantapan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris dan Mandarin, selain menyalurkan mereka dengan bahan bacaan termasuk buku serta surat khabar (Program Wakaf BH-Forest City),” katanya.

AERON (tiga dari kanan) diiringi Fadzlena (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar ketika Seminar PT3 2018 di SMK Tanjung Adang, Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Rahim

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Seminar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) BH Minda anjuran Forest City dengan kerjasama Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press Bhd (NSTP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Kandungan Vertikal Pendidikan NSTP, Fadzlena Jafar dan Pengetua SMK Tanjung Adang, Noor Hafizah Abdul Wahab.

Kerjasama erat Forest City-NSTP menganjurkan seminar pendidikan berimpak tinggi sejak tahun lalu itu membuktikan komitmen berterusan syarikat itu untuk memperkasakan penguasaan akademik pelajar terutama bagi calon peperiksaan penting seperti PT3.

Aeron berkata, pemantauan berterusan turut dilakukan bagi melihat prestasi dan perkembangan pendidikan pelajar di sekolah angkatnya, selain penambahbaikan yang boleh dilakukan.

“Kami akan memantau dengan sekolah terbabit (sekolah angkat) untuk melihat kekurangan dihadapi terutama dalam membantu mereka menguasai subjek bahasa Inggeris dengan baik.

“Besar harapan kami supaya peserta seminar ini dapat melakar kejayaan cemerlang dalam peperiksaan dan membawa nama baik Forest City apabila berjaya kelak,” katanya.

Info Seminar PT3 BH Minda Forest City

  • Disertai 90 peserta SMK Tanjung Adang terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga.
  • Sekolah angkat Forest City termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Tiram Duku, SK Tanjung Adang, SK Morni Pok, SK Tanjung Kupang dan SK Pendas Laut.
Berita Harian X