Rabu, 19 September 2018 | 4:07pm
NAIB Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib (lima dari kanan) bersama wakil-wakil syarikat yang menjalin kerjasama bersama pada Karnival [email protected] dan Majlis Apresiasi Industri di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal. - Foto Khairunisah Lokman

Kebolehpasaran graduan UTeM 95 peratus

MELAKA: Tahap kebolehpasaran graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sehingga 95 peratus membuktikan ia kini berada pada landasan tepat dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi untuk pasaran kerja tempatan.

Ia berdasarkan kebolehpasaran graduan selepas enam bulan hingga setahun menamatkan pengajian.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata bersesuaian status sebagai universiti teknikal, jumlah peratusan itu menunjukkan graduan berjaya menempatkan diri dalam sektor industri, manakala selebihnya kerajaan.

“Pelajar UTeM sangat rapat dengan industri dan mengikut data universiti, saban tahun tidak sampai lima peratus yang bekerja dengan sektor kerajaan, manakala selebihnya bersama pihak industri.

“Sebilangan kecil pula menceburi bidang keusahawanan dengan membuka perniagaan sendiri. Inilah yang kita harapkan mereka (graduan) sebagai penggerak ekonomi negara di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kerjaya @UTeM dan Majlis Apresiasi Industri di Dewan Canselor Universiti UTeM, Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Sebanyak 60 syarikat yang menawarkan 1,500 peluang pekerjaan menyertai program yang julung kali diadakan itu.

Shahrin berkata, kerjasama rapat dengan rakan industri yang terjalin selama ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mahasiswa UTeM mencari pekerjaan sebelum tamat pengajian.

“Alhamdulillah, kita terus mendapat kepercayaan mereka (industri) bagi menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk aktiviti berkaitan penyelidikan, latihan mahupun pembangunan.

“Kerjasama ini bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi dan kecemerlangan UTeM, malah memperkasakan bidang inovasi setanding universiti lain dan paling utama, menjadi penggerak ekonomi negara,” katanya.

Berita Harian X