Ahad, 23 September 2018 | 6:12pm
NORDIN (tiga dari kanan) menyampaikan piala iringan dan replika cek kepada wakil dari KPTM Kota Bharu yang menjuarai Pertandingan Koir KPTM Se-Malaysia di Auditorium RTM Kedah, di Alor Setar, hari ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
NORDIN (berdiri enam dari kiri) bersama pemenang tempat pertama dari KPTM Kota Bharu. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Syarat minimum pinjaman, kemasukan ke KPTM dilonggarkan

ALOR SETAR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersetuju melonggarkan syarat minimum bagi pemberian pinjaman dan kemasukan ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) mulai pengambilan pelajar November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Nordin Ahmad, berkata langkah itu bakal membuka lebih peluang untuk pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kini, pelajar yang memperoleh empat kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk Matematik, layak mengikuti pengajian peringkat diploma dan mendapat pinjaman pelajaran MARA.

“Sebelum ini, pelajar perlu mendapat kredit dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan empat subjek lagi, menyebabkan agak sukar untuk mereka menyambung pengajian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Pertandingan Koir KPTM Se-Malaysia di Auditorium RTM Kedah, di sini, hari ini.

Nordin berkata, pihaknya berharap dengan kelonggaran syarat itu, lebih ramai pelajar akan mendaftar di KPTM, sekali gus meningkatkan tajaan MARA kepada penuntut Bumiputera.

Sementara itu, tujuh kolej cawangan KPTM menyertai pertandingan koir hari ini dengan KPTM Kota Bharu berjaya muncul johan, sekali gus berpeluang mengadakan persembahan pada Majlis Konvokesyen KPTM dan Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) pada bulan depan.

171 dibaca
Berita Harian X