Ahad, 14 Oktober 2018 | 7:55pm
MENTERI Wilayah, Khalid Abdul Samad (kanan) merasmikan Hari Alam Sekitar Negara dan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto NSTP
MENTERI Wilayah, Khalid Abdul Samad (kanan) merasmikan Hari Alam Sekitar Negara dan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto NSTP
ANTARA pendebat mengambil bahagian pada Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) 2018 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto NSTP
ANTARA pendebat mengambil bahagian pada Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) 2018 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto NSTP

4 pasukan rebut kejuaraan DeTIK 2018

KUALA LUMPUR: Empat pasukan debat mewakili institusi pendidikan tinggi mara ke peringkat akhir Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK ) 2018 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, di sini, esok.

Sekretariat penganjur berkata, pasukan terbabit ialah juara bertahan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) A, Universiti Teknologi Petronas (UTP) B, IPG Kampus Bahasa Melayu dan IPG Kampus Pulau Pinang.

Empat pasukan tersingkir di peringkat separuh akhir ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) A, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) B dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam B.

Pertandingan debat selama empat hari sehingga esok disertai 64 pasukan meliputi pelajar universiti awam (UA), universiti swasta, IPG, kolej matrikulasi, Politeknik, Maahad Tahfiz dan institusi pendidikan lain yang berusia 18 hingga 21 tahun.

Pertandingan debat yang memasuki edisi kelima itu adalah antara pengisian Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Wilayah Persekutuan.

Debat kali ini anjuran IPG Kampus Ilmu Khas dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Alam Sekitar Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Aktivis Debat IPG Malaysia (ADIM).

Sementara itu, Ketua Hakim DeTIK 2018, Dr Mohd Fahmy Abdullah, berkata mutu perbahasan pendebat menunjukkan peningkatan ketara berbanding edisi sebelum ini sehingga sukar menentukan pasukan layak ke peringkat akhir.

“Kami menjangkakan pertandingan akhir esok lebih mencabar dan pendebat akan melakukan yang terbaik apatah lagi mereka mendapat motivasi untuk memberi saingan sengit kepada juara bertahan dari UIAM yang semua sedia maklum bertaraf antarabangsa,” katanya.

Berita Harian X