Rabu, 14 November 2018 | 5:12pm
PENGARANG Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Timbalan Pengarah Urusan Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Syarul Izam Sarifudin menyempurnakan majlis penyerahan Wakaf BH-Forest City di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang. - Foto Mohd Azren jamaludin
PENGARANG Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Timbalan Pengarah Urusan Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Syarul Izam Sarifudin menyempurnakan majlis penyerahan Wakaf BH-Forest City di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang. - Foto Mohd Azren jamaludin

SMK Tanjung Adang lebih ceria dengan Wakaf BH-Forest City

ISKANDAR PUTERI: Program sumbangan Wakaf BH-Forest City melabuhkan tirai pada tahun ini dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang menjadi sekolah terakhir menerima sebuah unit wakaf.

Majlis Penyerahan disempurnakan Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, bersama Timbalan Pengarah Urusan Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Syarul Izam Sarifudin, baru-baru ini.

SMK Ladang Pendas menjadi sekolah terakhir daripada keseluruhan tujuh sekolah yang terbabit dalam program sumbangan Wakaf BH-Forest City.

Ahmad Zaini berkata, beliau bersyukur program sumbangan Wakaf BH-Forest City yang menjadi sebahagian daripada program Tanggunjawab Sosial Korporat (CSR) dianjurkan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan CGPV, pemaju projek Forest City, dapat dijalankan dengan jayanya ke semua sekolah.

Katanya, program yang bermula tahun lalu itu diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-60 BH dan sebanyak tujuh sekolah secara keseluruhan terbabit pada program berkenaan di mana lima sudah disempurnakan penyerahannya.

“Tahun ini, program sumbangan dua lagi sekolah diteruskan dan minggu lalu menyaksikan SK Ladang Pendas menerima sebuah unit wakaf bagi dimanfaatkan kira-kira 80 murid di sekolah berkenaan.

“Pada program terakhir ini, SMK Tanjung Adang pula bertuah menerima sumbangan wakaf yang boleh dimanfaatkan kira-kira 200 pelajar di sekolah ini.

“Selain sumbangan wakaf, Forest City turut menaja pelbagai aktiviti pendidikan anjuran BH dan New Straits Times (NST) termasuk penganjuran seminar bimbingan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Didik dan bengkel UPSR NST,” katanya.

Sementara itu, Syarul Izam berkata penyerahan sumbangan wakaf itu adalah membabitkan semua sekolah angkat Forest City dan pihaknya berbesar hati dapat melaksanakan semua program dengan jayanya ke tujuh sekolah terbabit.

“Program sumbangan yang berlangsung pada hari ini adalah sebagai simbolik kerjasama BH dan Forest City terhadap masyarakat sekitar yang terbabit dalam kawasan pembangunan projek.

“Kami harap murid dan pelajar dari sekolah yang mendapat sumbangan wakaf ini dapat memanfaatkan kemudahan ini dan gunakan ia sebagai ruang sudut bacaan tambahan bagi mengulangkaji pelajaran di dalam kawasan sekolah,” katanya.

Lima sekolah yang terbabit dalam program Wakaf BH-Forest City pada tahun lalu ialah SK Tiram Duku, SK Tanjung Adang, SK Murni Pok, SK Tanjung Kupang dan SK Pendas Laut.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X