Rabu, 14 November 2018 | 5:17pm
PENGARANG Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Timbalan Pengarah Urusan Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Syarul Izam Sarifudin dan Pengetua SMK Tanjung Adang, Norafizah Abd Wahab bergambar dengan pelajar pada majlis sumbangan Wakaf BH-Forest City di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENGARANG Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Pengetua SMK Tanjung Adang, Norafizah Abd Wahab beramah mesra dengan pelajar pada majlis sumbangan Wakaf BH-Forest City di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Wakaf bantu tarik pelajar datang ke sekolah

ISKANDAR PUTERI: Sumbangan Wakaf BH-Forest City membantu menambahkan lagi keceriaan kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang, sekali gus menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah.

Pengetuanya, Norafizah Abd Wahab, berkata sumbangan wakaf yang diletakkan bersebelahan kawasan kantin sekolah menambahkan lagi keceriaan landskap sekolah.

Katanya, keindahan dan keceriaan sekolah sedikit sebanyak menambah semangat pelajar untuk hadir ke sekolah selain menggunakan kemudahan itu untuk membaca dan bersantai.

“Wakaf ini juga mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif kepada semua pelajar selain menambahkan lagi keceriaan kawasan persekitaran sekolah.

“Pihak sekolah selepas ini akan menganjurkan pelbagai program bagi menghidup dan memanfaatkan sumbangan wakaf yang diberikan ini,” katanya.

Pelajar Tingkatan Lima, Mohd Redza Sugimin, 17, berkata pemberian wakaf itu membolehkan sesi ulang kaji dan bacaan bahan ilmiah bersama rakan terutama sebagai persediaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dibuat.

“Wakaf ini membolehkan kami dapat menggunakannya sebagai lokasi baharu untuk mengulangkaji pelajaran bersama selain berehat santai sementara menunggu tamat waktu persekolahan,” katanya.

Bagi rakannya, Muhd Asyraf Jasman, 17, berkata kewujudan wakaf berkenaan mengindahkan lagi keceriaan persekitaran kawasan sekolah.

“Keceriaan sekolah lebih nampak menarik dengan adanya wakaf ini dan diharap rakan yang lain dapat memanfaatkan kemudahan wakaf itu supaya ia tidak terbiar begitu sahaja,” katanya.

Pelajar Tingkatan Tiga, Nurul Syafiqah Azhar, 15, berkata sumbangan wakaf itu membolehkan dia dan rakannya mendapat ruang bacaan baharu yang lebih selesa dan santai.

“Selepas ini kami boleh menggunakan kemudahan wakaf ini sebagai tempat membaca dan ulang kaji santai pada waktu rehat atau selepas tempoh persekolahan,” katanya.

Berita Harian X