Jumaat, 1 March 2019 | 11:26am
Wan Nor Shafiqah Wan Ahmad (kanan) dan Sharifah Nurhan Aida Syed Mohamed menunjukkan keropok lekor berintikan sambal hitam yang dihasilkan mereka. - Foto Roselan Ab Malek

Keropok lekor inti sambal hitam juara kemahiran TVET

JERANTUT: Gabungan dua makanan istimewa Pantai Timur, keropok lekor berintikan sambal hitam menambat hati juri apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan di antara Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pahang.

Ia adalah idea asal dua pelajar Kemahiran Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) berasal dari Terengganu, Wan Nor Shafiqah Wan Ahmad, 19 dan Sharifah Nurhan Aida Syed Mohamed,19, bagi kategori penghasilan keropok lekor.

Wan Nor Shafiqah yang berasal dari Kemaman, berkata keropok lekor adalah makanan kegemaran penduduk Terengganu sebagai menu minum petang.

“Apabila pensyarah kami mengatakan ada pertandingan inovasi keropok lekor, saya dan Sharifah Nurhan Aida yang berasal dari Dungun cuba mencari idea baharu.

“Sambal hitam amat popular di Pahang dan ia adalah sebahagian masakan tradisi masyarakat di sini, ” katanya.

“Kami berbincang dengan pensyarah pembimbing, Ahmad Sabre Osman dan bersetuju dengan idea untuk memasukkan sambal hitam dalam keropok lekor sebagai inti sebelum digoreng dan dipotong untuk dihidangkan,” katanya di sini, hari ini.

Sharifah Nurhan Aida pula berkata, rasa lemak masin keropok lekor dan masam pedas sambal hitam mewujudkan aroma dan rasa yang sedap.

Katanya, gabungan makanan tradisi Terengganu dan Pahang nampaknya berhasil dan berharap ia menjadi popular dan dijual di kedai makan pada masa akan datang.

KKJ terus unggul apabila memenangi tempat pertama bagi semua kategori dalam Pertandingan Kemahiran Penghasilan untuk produk kacang soya, keropok lekor dan roti di antara Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pahang.

Pertandingan itu turut disertai oleh Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat 2, Maran dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Damar, Temerloh.

Roti bun keledek ungu yang dihasilkan menggunakan serbuk keledek ungu serta hampas nenas oleh pelajar KKJ, Nurul Atirah Adnan ,19 dan Maidatul Anizza Mohd Rody 19, turut menjuarai kategori masakan roti.

’Butterscotch taufufah dengan cendol’ hasil inovasi Muhammad Izzat Afiq Mohd Putra, 20 dan Maidatul Ainna Mohd Rody, 21, juga dari KKJ turut menjuarai kategori kacang soya.

549 dibaca
Berita Harian X