Khamis, 14 March 2019 | 4:31pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun. - NSTP/Rosela Ismail

SPM 2018: Enam MRSM catat keputusan cemerlang

KUALA LUMPUR: Enam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menunjukkan prestasi cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata enam sekolah itu adalah MRSM Kuantan di Pahang, MRSM Kuala Kubu Bharu di Selangor, MRSM Kubang Pasu dan Langkawi di Kedah, MRSM Taiping di Perak dan MRSM Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka.

Katanya, berdasarkan keputusan peperiksaan yang diumum hari ini, MRSM secara keseluruhan sekali lagi berjaya mencapai prestasi cemerlang dengan pencapaian 100 peratus lulus serta mencatatkan indeks yang baik, iaitu 2.46.

Beliau berkata, nilai Gred Purata Maktab (GPM) yang kecil, iaitu kurang daripada 2.0 pula menunjukkan pencapaian sangat baik, iaitu majoriti pelajar mendapat purata gred antara A+ hingga B.

“MARA menyasarkan pelajar MRSM memperoleh minimum B bagi semua subjek yang diduduki. Tahun ini seramai 8,149 calon atau 98 peratus mencapai sasaran terbabit. Daripada jumlah itu, seramai 893 atau 11 peratus peratus memperoleh A bagi semua mata pelajaran yang diduduki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rina berkata, pencapaian cemerlang SPM 2018 membuktikan Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) yang fokus kepada enam disiplin utama, mampu melahirkan pelajar cemerlang terutama di luar bandar.

Berita Harian X