Sabtu, 23 March 2019 | 12:02pm
ZAINAB (tiga dari kiri) merasmikan Hari Terbuka Politeknik Kota Kinabalu 2019 dan Program POLYCC Fun Run 2019 di Politeknik Kota Kinabalu, Sepanggar. - Foto Khairull Azry Bidin

Lepasan politeknik diperlukan industri

KOTA KINABALU: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diharap memilih politeknik yang ada di negeri ini untuk melanjutkan pengajian mereka khususnya dalam bidang kemahiran atau pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Zainah Othman, berkata ini kerana peluang pekerjaan bagi lulusan politeknik terbuka luas buat mereka yang mempunyai ilmu kemahiran untuk bekerja dalam sektor perindustrian di negeri ini.

“Kita berharap lebih ramai komuniti dan lepasan SPM datang memeriahkan Hari Terbuka Politeknik Kota Kinabalu untuk melihat lebih dekat apa yang ditawarkan sekali gus memilih untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma dan sijil di sini.

“Ia kerana pengambilan untuk Jun akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. Kita menawarkan 15 program yang memenuhi keperluan industri. Selain itu, kita juga dimaklumkan kadar kebolehpasaran graduan kita pada 2017, direkodkan pada 95 peratus.

“Saya berharap peratusan ini akan meningkat lagi. Perkara seperti inilah yang harus kita uar-uarkan kepada masyarakat supaya tahu kepentingan bidang kemahiran sekali gus Politeknik Kota Kinabalu akan menjadi pilihan pertama melanjutkan pengajian,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Politeknik Kota Kinabalu, di sini hari ini

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Politeknik Kota Kinabalu, Mohd Sahran @ Awang Mohidin.

Zainab berkata, hari terbuka selama lima hari bermula Khamis lalu, itu diadakan bersempena dengan Konvokesyen Ke-23 Politeknik yang akan diadakan Isnin ini.

“Sempena konvokesyen kali ini, seramai 1,321 graduan akan menerima diploma dan sijil masing-masing pada 25 Mac ini,” katanya.

Terdahulu, Zainab bersama kira-kira 500 peserta antaranya warga Politeknik Kota Kinabalu selain orang awam, pelajar politeknik dan kolej komuniti menyertai Program Polycc Fun Run sempena sambutan Jubli Emas Politeknik Malaysia 2019.

Program itu dijalankan serentak di 10 politeknik seluruh negara, dengan antara objektifnya adalah untuk mempromosikan jenama politeknik dan kolej komuniti sebagai institusi pendidikan TVET yang berkualiti serta menghasilkan modal insan yang yang berdaya saing di peringkat global.

293 dibaca
Berita Harian X