Jumaat, 5 April 2019 | 8:44pm
NAIB Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman.

UPSI tubuh Jabatan Moral

TANJUNG MALIM: Isu sosial dalam kalangan masyarakat dan pelajar sekolah mendorong Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil langkah proaktif menubuhkan Jabatan Moral di Fakulti Sains Kemanusiaan universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata UPSI sebelum ini sudah menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral dan ramai graduan ditempatkan di sekolah di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, menyedari aspek moral dan pembangunan sahsiah pelajar sekolah diberikan penekanan selain akademik seperti disarankan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, maka UPSI berjaya mendapatkan kelulusan penubuhan Jabatan Moral.

“Ini membuktikan kesungguhan UPSI untuk membantu sistem pendidikan di sekolah agar tidak berlaku pengabaian pembangunan sahsiah dan usaha meningkatkan nilai moral dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh negara perlu dilakukan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan akademik sahaja tidak mencukupi untuk melahirkan generasi yang memiliki sahsiah unggul dalam masyarakat.

Katanya, sejak negara merdeka pada tahun 1957, rakyat pelbagai kaum dan etnik dapat hidup bersama secara harmoni dan ini bererti aspek moral sangat penting sebagai elemen yang menyatukan bangsa.

“Subjek moral yang ada di sekolah sekarang harus diperkukuhkan supaya dapat mengimbangi personaliti pelajar selain memberi fokus kepada pencapaian akademik sahaja,” katanya.

Justeru, Mohammad Shatar berkata, UPSI menaik taraf program Pendidikan Moral dengan menubuhkan Jabatan Moral berikutan saranan Menteri Pendidikan yang mahukan pembangunan sahsiah pelajar sekolah seperti penerapan sifat kasih sayang dan menghormati orang lain sangat penting.

Katanya, UPSI sendiri memberi penekanan terhadap dua elemen iaitu 2A (Akademik dan Sahsiah) terhadap mahasiswa sepanjang pengajian mereka selain membekalkan pelbagai kemahiran insaniah sebelum mereka bergelar graduan.

“Kami bersedia bekerjasama dengan pihak sekolah untuk berkolaborasi menjayakan program berteraskan pendidikan moral yang bermanfaat untuk pembangunan sahsiah pelajar sekolah,” katanya.

Berita Harian X