Rabu, 10 April 2019 | 12:27am
BAKAT muda yang dilahirkan menerusi Pertandingan Seni Pengucapan Awam Alaf Baharu (PETAH) anjuran Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto IHSAN Ipg Ilmu Khas

E-Petah tampil bakat kanak-kanak berucap

KUALA LUMPUR: Pertandingan seni pengucapan awam alaf baharu (PETAH) 2019 peringkat kebangsaan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, di sini, hari ini dan esok turut diisi dengan e-Petah sejajar teknologi digital.

Pengurus PETAH 2019, Norani Abd Rahim, berkata e-Petah menggunakan platform aplikasi Instagram sebagai medan menampilkan dan mengasah bakat kanak-kanak berucap.

Katanya, e-Petah menjadi daya penarik kanak-kanak untuk mengembangkan potensi mereka dalam pengucapan awam mengikut trend semasa.

Beliau berkata, teknologi gajet menjadi medium yang dekat dengan remaja dan kanak-kanak dan mereka sering membuat ulasan selari dan berkomunikasi menggunakan telefon pintar termasuk membabitkan pendidikan.

“Sehubungan itu, PETAH mengambil pendekatan untuk menyampaikan mesej pendidikan kepada umum menggunakan Instagram yang sememangnya perisian wajib ada pada setiap remaja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebanyak 50 pasukan mengesahkan penyertaan dalam pertandingan untuk murid sekolah rendah peringkat kebangsaan itu, hari ini dan esok.

Berita Harian X