Sabtu, 13 April 2019 | 9:53am
Shaari (tengah) menyampaikan hadiah utama, Bintang PETAH 2019 kepada Nas Nadine Nabeeha sempena Pertandingan Seni Pengucapan Awam Alaf Baharu (PETAH) 2019 di IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. - Ihsan IPG Ilmu Khas

Nas Nadine Nabeeha bintang PETAH 2019

KUALA LUMPUR: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra, Kajang, Nas Nadine Nabeeha Nasruddin, dinobatkan Bintang PETAH sempena Pertandingan Pengucapan Awam Alaf Baharu (PETAH) Peringkat Kebangsaan 2019 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras di sini, semalam.

Nas Nadine Nabeeha bersama Nur Liya Zafirah Mishar Hafi dan Aimi Najla Yusnizam turut memenangi kategori Bual Bicara, iaitu acara seni bercerita secara berpasukan.

Kategori Bicara Tuntas Interaktif iaitu kategori seni pembentangan individu pula dimenangi murid SK Bandar Tun Hussein Onn 2, Cheras, Tuah Iskandar Rozman.

Bintang PETAH adalah juara keseluruhan antara dua acara dipertandingkan dengan lima hakim sepakat memilih Nas Nadine Nabeeha sebagai pemenang.

Kategori e-Petah iaitu seni kepengacaraan mengaplikasi teknologi digital menggunakan gajet terbuka kepada siswa guru IPG Kampus Ilmu Khas pula dimenangi Anisah Haizald.

Hadiah disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Shaari Osman.

Dalam ucapan perasmiannya, Shaari mahu semua sekolah memanfaatkan Sudut Pidato sekolah untuk melahirkan pendebat pelapis negara bertaraf antarabangsa.

“Ada sekolah bila saya minta gambar murid berpidato, hanya gambar sudut pidato dihantar, yang dengan sendirinya membuktikan mereka mengabaikan kemudahan itu,” katanya.

Tempat kedua kategori Bicara Tuntas Interaktif ialah murid SK Rasa, Hulu Selangor, Muhammad Danish Airiel Syalludin, manakala murid SK Bandar Tun Hussein Onn 2, iaitu Damia Iman Rosman, Za’sharel Zafri Zahrel Shamdan Nur Arissa Mohd Asshek, dipilih naib johan kategori Bual Bicara.

PETAH ialah program yang memberikan bimbingan seni pengucapan awam alaf baharu dalam bahasa Melayu yang diakhiri dengan pertandingan meliputi kategori Bicara Tuntas Interaktif (seni pembentangan), Bual Cerita (seni bercerita) dan e-PETAH (seni kepengacaraan).

521 dibaca
Berita Harian X