Selasa, 16 April 2019 | 10:43pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian pelajar pada Sesi Dialog bersama 50 Ninja Digital di bawah program Digital Ninjas Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di kementeriannya hari ini. - Foto BERNAMA

KKMM, Kementerian Pendidikan kerjasama wujud sekolah pemprograman komputer

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan sekolah pemprograman komputer untuk pelajar lepasan sekolah menengah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata inisiatif itu bertujuan menerapkan ilmu teknologi dan pengkomputeran supaya generasi muda lebih bersedia pada masa depan dalam dunia teknologi digital untuk kekal berdaya saing.

Katanya kementeriannya sedang meneliti pelbagai model bagi tujuan membina dan membangunkan sekolah pemprograman komputer yang sesuai dengan sekolah-sekolah di Malaysia manakala sukatan pelajarannya akan disediakan Kementerian Pendidikan.

Satu ujian sekolah pemprograman komputer diharap dapat dijalankan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini, katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan 50 ninja digital di bawah Program Ninja Digital yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini hari ini.

Gobind berkata beliau yang sudah melawat Ecole 42, sebuah sekolah pemprograman komputer di Paris, akan cuba membawa model berkenaan ke Malaysia.

Mengenai Program Ninja Digital itu, Gobind berkata teknologi digital menawarkan kepada orang ramai peluang dan perubahan tanpa sempadan.

Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk mempersiapkan belia untuk menghadapi dunia teknologi digital untuk kekal berdaya saing.

“Sebahagian daripadanya adalah dengan melengkapkan belia Malaysia dengan kemahiran serta set pemikiran dan pendekatan yang dapat membantu mereka kekal relevan dalam tenaga kerja masa depan,” katanya.

Program Ninja Digital bertujuan mempertingkatkan kemahiran digital yang menyasarkan pelajar Malaysia berusia antara 13 dan 17 tahun yang mempunyai bakat dalam pembikinan digital dan menunjukkan potensi besar untuk menjadi pakar teknologi digital pada masa depan.

Mengenai calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini, Gobind yang juga Timbalan Pengerusi DAP, berkata parti sudah ada beberapa cadangan tetapi keputusan itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.

PRK Sandakan perlu diadakan berikutan kematian penyandang yang juga Pengerusi DAP Sabah, Mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt. - BERNAMA

Berita Harian X