Sabtu, 20 April 2019 | 4:22pm
KAMARUZAMAN (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada guru sempena Majlis Apresiasi Guru dan Staff MRSM Langkawi di Hotel Bayview, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

MRSM tawar bahasa ketiga lahirkan pelajar berdaya saing

LANGKAWI: Kesemua 54 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara bersedia menawarkan pembelajaran bahasa ketiga secara berperingkat sebagai usaha membantu kerajaan melahirkan pelajar multilingual.

Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Kamaruzaman Jaffar, berkata langkah itu bertujuan menjadikan lepasan MRSM berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, setakat ini, 10 MRSM menawarkan bahasa ketiga dengan didahului bahasa Arab di lima MRSM Ulul Albab, iaitu Kota Putra, Terengganu; Gemencheh, Negeri Sembilan; Kepala Batas, Pulau Pinang; Kuala Sungai Besar, Selangor; dan Semporna, Sabah.

“Selain itu, bahasa Jepun ditawarkan di MRSM Langkawi, bahasa Perancis di MRSM Tun Abdul Razak, Pahang, dan MRSM Alor Gajah, Melaka, manakala bahasa Mandarin pula di MRSM Pengkalan Chepa dan Tun Ghafar Baba, Melaka.

“Sasaran kita ialah semua 54 MRSM akan menawarkan bahasa ketiga tetapi secara berperingkat berikutan kekangan kewangan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Guru dan Staf MRSM Langkawi, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengetua MRSM Langkawi, Nordin Ahmad; Yang Dipertua Muafakat MRSM Langkawi, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad; dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Mohd Kamal Hashim.

Sementara itu, Sayed Alfeizal berkata, majlis berkenaan julung kali diadakan bertujuan menghargai sumbangan 150 guru dan staf yang membantu mengharumkan nama MRSM Langkawi.

“MRSM Langkawi menduduki tempat kedua selepas MRSM Tun Ghafar Baba bagi pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dalam kalangan MRSM seluruh negara.

“Malah, lebih membanggakan apabila kita menduduki tempat pertama daripada 13 MRSM yang menawarkan program dwisijil Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) pada tahun lalu,” katanya.

Berita Harian X