Isnin, 27 Mei 2019 | 4:47pm
Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin (berdiri, tengah) bergambar bersama anak-anak yatim dan kakitangan YBR selepas membeli pakaian raya di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur, hari ini.

YBR sedia pakaian raya anak Titian Kaseh

KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) tidak melepaskan peluang membawa 90 anak-anak yatim dari Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa membeli pakaian raya di sebuah pasar raya di ibu negara, di sini, hari ini.

Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin, berkata program sedemikian adalah acara tahunan pihaknya setiap kali Ramadan bagi membantu golongan tidak bernasib baik sebagai persiapan umat Islam menyambut kedatangan Syawal.

Beliau berkata, YBR memperuntukkan RM13,500 untuk membeli pakaian raya bagi anak-anak yatim berkenaan, masing-masing menerima sumbangan RM150 untuk membeli dua pasang baju raya.

“Selain dapat meringankan beban mereka yang memerlukan, sumbangan ini sekali gus merapatkan lagi ukhuwah antara kakitangan YBR dengan masyarakat sesama bangsa dan agama.

“Program yang menjadi acara tahunan YBR ini amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan seperti anak yatim yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar,” katanya.

Selain itu, Norashikin berkata, YBR juga menyumbangkan bantuan berbentuk beg sekolah sebagai kegunaan persekolahan anak-anak berkenaan yang berjumlah RM2,250 dan berharap sumbangan yang diberikan dapat memeriahkan lagi sambutan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Sementara itu, Pengurus Rumah Titian Kaseh, Sharifah Adlan, berkata pihaknya amat berbesar hati menerima kunjungan daripada YBR serta meraikan anak-anak yang berada di pusat jagaan terbabit.

Katanya, mereka amat mengalu-alukan sumbangan berkenaan kerana sekurang-kurangnya anak-anak yatim itu dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti bersama pihak luar serta membantu mereka menyambut Aidilfitri sama seperti orang lain.

“Dengan bantuan YBR membawa anak-anak ini ke pusat beli-belah hari ini dapatlah mereka memilih sendiri baju raya yang diingini serta memberikan rasa keterujaan untuk menyambut Aidilfitri sama seperti orang lain tanpa rasa terasing dan terpinggir,” katanya.

Rumah Titian Kaseh yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa itu mempunyai 130 penghuni yang terdiri daripada anak-anak yatim, asnaf, gelandangan, OKU dan orang tua.

Orang ramai atau syarikat korporat yang ingin menyumbang kepada pusat jagaan itu boleh terus menghubungi rumah terbabit menerusi talian 019-6455796.

Berita Harian X